Bidang ternakan tak glamour, tapi lumayan


Bergelumang dengan bau lembu dan kambing dilihat sebagai pekerjaan tidak glamour, namun jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh boleh mendatangkan pulangan lumayan.

Generasi kedua Felda Chini 3 di sini, Hasjikiman Othman, 35, mula membela ternakan dalam ladang kelapa sawit sejak lima tahun lepas, dan setakat ini mempunyai 85 ekor lembu selain 20 ekor kambing.

Bapa kepada tiga orang anak berusia antara satu dan enam tahun itu mengakui bidang ternakan yang sebelum ini dilakukan secara 'suka-suka', kini amat membantu terutamanya semasa berdepan kejatuhan harga komoditi itu.

"Sekurang-kurangnya dua ekor lembu dapat dijual setiap bulan dengan harga sekitar RM22 sekilo manakala pada Aidiladha lepas, saya menjual lapan ekor lembu dengan harga RM3,800 seekor.

"Jualan kambing pula lebih stabil kerana hampir 20 ekor ditempah setiap bulan yang dijual antara RM900 ke RM950 seekor mengikut berat," katanya semasa ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Hasjikiman berkata beliau mengeluarkan modal sekitar RM30,000 untuk membeli 15 ekor lembu bagi dijadikan induk pada awal pembabitan dalam industri penternakan, manakala RM10,000 dijadikan modal permulaan kambing.

Menjaga ternakan itu juga, menurut Hasjikiman tidak begitu sukar kerana kedudukan kandang di ladang membolehkan beliau 'mencuri masa' untuk melihat dan memberi makan pada waktu pagi sebelum masuk ke kebun.

Selepas tamat bekerja di kebun pada waktu tengah hari, beliau sekali lagi kembali ke kandang selepas selesai menunaikan solat asar untuk memberi makan dan memeriksa haiwan ternakannya, jika ada yang sakit.

"Makan pun mudah kerana saya memberi rumput napier yang ditanam berhampiran kawasan ladang...cuma setiap bulan kena belanja juga beberapa ratus ringgit untuk membeli pallet makanan lembu dan kambing," katanya.

Sebagai nilai tambah kepada dirinya, Hasjikiman juga mengikuti kursus sembelihan dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) selain kursus oleh Jabatan Veterinar bagi mendalami ilmu penternakan dengan lebih mendalam.

Bagi pasangan suami isteri Felda Chini 4 di sini, Rusman Diron, 65, dan Jamaliah Roslan, 60, masa terluang mereka diisi dengan menternak kelulut di perkarangan belakang rumah sejak awal tahun 2015.

Jamaliah berkata minat untuk menternak kelulut timbul selepas mengikuti kursus dengan permulaan dua buah sarang, bagi tujuan mendapatkan madu memandangkan suaminya menjadikan meminum madu sebagai amalan harian.

"...daripada untuk kegunaan sendiri, kami berkembang sehingga mempunyai 26 sarang kelulut dan mula menjual madu menerusi media sosial yang diuruskan oleh anak selain menjual secara terus kepada mereka yang datang ke rumah.

"Memang tak sangka boleh terjebak dalam perusahaan madu kelulut tapi selepas difikirkan, sayang jika tanah di belakang rumah dibiarkan sahaja. Tambahan pula, saya banyak menanam bunga yang mana menurut pengajar kursus sesuai dijadikan makanan kelulut," katanya.

Jamaliah berkata proses mengambil madu dilakukan tiga minggu sekali dan pada kali terakhir beliau melakukannya, berjaya memperoleh 30 kilogram madu yang dijual pada harga RM250 untuk sekilogram.

Katanya, proses 'menuai' madu boleh mengambil masa selama dua hari sebelum diproses termasuk proses sejatan bagi mengurangkan kandungan air supaya rasa madunya kurang masam dan dibotolkan untuk dihantar kepada pembeli. 

Beliau juga bersyukur kerana telah mempunyai pelanggan tetap selain terpaksa menolak beberapa permintaan untuk membekalkan madu kelulut kepada pemborong kerana bimbang jika tidak dapat melakukannya secara konsisten.

"Maklum sahajalah, jumlah madu yang dihasilkan berkurangan pada musim hujan kerana kelulut tidak boleh keluar untuk mencari makan. Selain itu, ada masanya kelulut juga terkena serangan musuh seperti lalat buah, semut dan cicak," katanya.

BERNAMA