Azmin hadir ke majlis Bersatu bukan satu masalah, Ahli parti menilai - Anwar


Kehadiran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada program anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti namun ia bukan satu isu bagi presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Anwar berkata selain Mohamed Azmin, ramai lagi pemimpin parti itu yang turut hadir pada sambutan ulang tahun ketiga Bersatu di Shah Alam, Selangor, Khamis lalu.

“Tidak ada masalah, dia hadir bila dijemput…jadi saya ingat tak berbangkit masalah ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, di sini, hari ini.

Kehadiran Mohamed Azmin ke majlis parti komponen Pakatasn Harapan (PH) itu antara lain menimbulkan spekulasi beliau akan menyertai Bersatu dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kehadiran pemimpin parti dalam PH termasuk Mohamed Azmin bukan petanda mereka akan menyertai Bersatu.

Mengenai mesyuarat berkenaan, Anwar berkata ia memberi fokus kepada persediaan jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)  Sarawak yang dijangka diadakan pada 2021.

“Saya tekankan beberapa perkara…termasuk kukuhkan jentera dan parti harus bergerak sebagai satu pasukan yang kukuh, saya puas hati kerana nampak ada suatu fokus dalam pemerkasaan jentera parti.

“PRN kita tak tahu bila akan diadakan, kita minta mereka persiapkan jentera dan tumpu kerja, sekarang ini rakyat harapkan parti dan wakil rakyat dan jentera kerajaan menjaga kepentingan mereka,” katanya.

BERNAMA