Amanah sokong mana-mana calon PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai


Parti Amanah Negara (Amanah) akan memberikan sokongan kepada mana-mana calon Pakatan Harapan (PH) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Salahuddin Ayub berkata pihaknya akan akur dengan keputusan kepimpinan PH berhubung calon yang dipilih kelak.

"Amanah akan akur dengan keputusan PH, sejauh ini mengikut semangat yang kita sepakati dalam PH, dan seperti berlaku beberapa PRK sebelum ini, parti yang bertanding di situlah yang akan letak calon masing-masing kecuali ada perubahan di peringkat Majlis Presiden," katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, di sini hari ini.

Salahuddin berkata sebagai anak jati Tanjung Piai, beliau akan 'berkubu' dan bekerja keras mempertahankan kemenangan PH di kawasan itu dan sebagai langkah awal, beliau sudah mengadakan mesyuarat di peringkat Tanjung Piai bersama pemimpin-pemimpin Amanah kawasan berkenaan, malam tadi.

"Pada 4 Okt ini, saya sebagai Pengarah Pilihan Raya PH Johor (semasa PRU14) juga akan mengadakan mesyuarat di Johor Bahru. Di sana nanti, kita akan memperincikan persiapan untuk Parlimen Tanjung Piai.

Bagi Amanah pula, arahan kepada jentera di bawah parti itu sudah dikeluarkan untuk meraih sokongan peti undi di bawah kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata beliau sudah menghubungi Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, malam tadi, dan kedua-dua mereka akan mengadakan pertemuan Jumaat ini bagi memperincikan strategi dan pendekatan yang harus dilakukan untuk PRK Parlimen Tanjung Piai.

Menurut Salahuddin, beliau turut menghubungi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berada di Amerika Syarikat, dua hari lepas, berhubung PRK berkenaan.

"Malam tadi (semasa mesyuarat) kita tidak bincang soal calon. Kita tunggu di peringkat Majlis Presiden PH, cuma dalam dua hari hari lepas, saya ada bercakap dengan (Tan Sri) Muhyiddin, oleh kerana kita di Johor sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kita begitu akrab dan bekerja berpasukan, maka, saya pun beritahu beliau bahawa walaupun prinsipnya kerusi Tanjung Piai adalah kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi Amanah tiada masalah membantu.

"Cuma saya bagi pandangan, selaku anak jati Tanjung Piai, kalau boleh dirundingi apabila kita mahu muktamadkan dan putuskan soal calon, saya juga akan bagi pandangan calon-calon terbaik," katanya.

Ditanya mengenai situasi PRK Parlimen Tanjung Piai, Salahuddin berkata ia merupakan ujian penting terhadap PH selepas setahun tujuh bulan mentadbir kerajaan, kerana memperlihatkan sejauh mana penerimaan rakyat terhadap kerajaan.

PRK Parlimen Tanjung Piai juga katanya boleh dianggap dramatik kerana menguji sejauh mana 'perkahwinan' UMNO dan PAS mendapat sokongan rakyat terutama pengundi Melayu memandangkan terdapat 56.8 peratus pengundi kaum itu.

"Bagi MCA pula, saya yakin mereka juga mahu membuat ujian sejauh mana MCA ada peranan sebab mereka mendakwa orang-orang Cina suda kembali kepada Barisan Nasional. Oleh kerana kawasan ini (Tanjung Piai) mempunyai 41.6 peratus pengundi Cina, ini juga menjadi satu ujian bagi MCA," katanya dengan menambah isu tempatan juga tidak dilihat menjadi dominan pada PRK berkenaan sebaliknya isu nasional seperti perkauman akan dimainkan pembangkang.

Menurut Salahuddin, atas rekod baik yang ditunjuk Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik semasa menjadi Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri selain personaliti Allahyarham yang berwibawa, beliau yakin rakyat Tanjung Piai mampu membuat penilaian adil terhadap Allahyarham sekali gus memberi mandat kepada PH untuk mempertahankan kawasan itu.

Kerusi parlimen Tanjung Piai mengalami kekosongan berikutan kematian ahli parlimennya, Dr Md Farid Sabtu lalu ekoran komplikasi jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh PRK selepas mesyuarat khas pada Selasa depan (1 Okt).

BERNAMA