ADUN Labuk daripada PBS sertai Warisan


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Abdul Rahman Kongkawang hari ini mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Abdul Rahman yang juga Naib Presiden PBS menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Warisan merangkap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini.

Abdul Rahman merupakan ADUN kedua menyertai Warisan selepas ADUN Tandek Datuk Anita Baranting pada 6 Mac lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau yang sebelum itu merupakan Pegawai Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri Labuk pertama kali bertanding mewakili PBS menggantikan penyandang kerusi itu Datuk Michael Asang.

Beliau menang dengan majoriti 2,600 undi selepas menewaskan calon lain iaitu Ramsah Tasim daripada Warisan, Rainus Awang (Parti Soladariti Tanah Airku) dan James Miki (Parti Cinta Sabah).

Bercakap pada sidang media selepas menyerahkan borang keahlian kepada Mohd Shafie, Abdul Rahman berkata penyertaannya ke dalam Warisan bukan atas faktor peribadi tetapi demi pembangunan kawasan DUN Labuk yang diwakilinya.

“Atas faktor ini, saya mengambil keputusan meninggalkan parti (PBS) yang saya sertai sejak 20 tahun lepas.

“Keperluan pembangunan di kawasan DUN Labuk menjadi keutamaan saya dan ianya dapat dilaksanakan dengan menyertai parti menerajui kerajaan negeri Sabah iaitu Warisan,” katanya.

Beliau berkata penyertaannya ke dalam Warisan membolehkan dia memberi lebih tumpuan terhadap pembangunan untuk rakyat.

BERNAMA