Tular memo majikan larang solat tidak berasas

Isu memo yang mendakwa sebuah syarikat di Kapar, Selangor melarang pekerjanya yang beragama Islam menunaikan solat ketika waktu bekerja dan denda sebanyak RM500 sekiranya melanggar arahan tersebut, adalah tidak berasas.

 dalam satu kenyataan hari ini berkata pegawai di Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang, telah melakukan siasatan segera pada hari sama, sebagai respons ke atas aduan yang diterima melalui sebuah portal berita.

"Berdasarkan siasatan melalui temubual pekerja tempatan dan pekerja asing secara rawak mendapati, pekerja tidak pernah melihat memo tersebut ditampal di papan kenyataan syarikat, atau diedarkan kepada pekerja.

"Pekerja yang ditemubual juga menjelaskan, pihak syarikat tidak pernah memberi apa-apa penerangan mengenai isu berkaitan waktu solat atau sebarang perubahan polisi syarikat, dan memberi kebebasan kepada pekerja untuk solat ketika waktu kerja, serta beberapa ruang solat juga ada diwujudkan di dalam kawasan kilang," menurut kementerian itu.

Tambah kementerian itu, pada hari Jumaat pula pihak syarikat memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan pekerja yang beragama Islam boleh menunaikan solat Jumaat, di masjid berhampiran dengan kilang.

Kementerian itu, turut menemui pengarah syarikat berkenaan dan beliau telah menafikan isu yang dihebahkan oleh media tersebut dan menganggap ia adalah sabotaj pihak tertentu, terhadap reputasi dan nama syarikat.

Malah, beliau menjelaskan bahawa tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan secara lisan atau bertulis mengenai larangan kepada pekerja untuk menunaikan solat ketika waktu kerja, dan pihak syarikat turut membuat laporan polis.

"Kesimpulannya, penyiasatan yang dijalankan ke atas syarikat ini secara keseluruhannya mendapati aduan tersebut tidak berasas. Majikan telah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955 dari masa ke masa.

"Tiada notis pematuhan yang dikeluarkan dan kes ini disyorkan selesai di peringkat aduan," menurut kementerian itu lagi.

BERNAMA