Tuduhan Amanah terima dana DAP perlu disertakan bukti

Tuduhan yang mendakwa punca kewangan Parti Amanah Negara (Amanah) dibiayai oleh DAP, perlu disertakan bukti sebelum dilakukan penafian.

Bendahari Agung Amanah, yang juga Pengerusi Amanah Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, tuduhan itu disifatkan berniat jahat dan usaha berterusan pihak tertentu untuk memburukkan imej parti berkenaan pada masyarakat.

"Kalau ada bukti baru boleh nafi tuduhan itu. Saya berpegang kepada prinsip apabila melemparkan tuduhan mestilah disertakan dengan bukti dan bukan cakap sahaja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Negeri Perak Kali ketiga di sini, hari ini.

Asmuni mengulas tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencabar Presiden Amanah Mohamad Sabu untuk menafikan bahawa punca kewangan parti itu sebenarnya dibiayai oleh DAP bagi menepis dakwaan tentang pembabitan DAP pada awal penubuhan Amanah.

"Zahid yang telah berkawan dengan Pas sepatutnya mesti tahu (hukum). Dia tidak boleh sesuka hati tuduh tanpa bukti, paling tidak, ada bukti-bukti prima facie," katanya.

Katanya, tuduhan tanpa bukti juga boleh dilakukan pihaknya sekiranya ingin menuduh Umno menerima dana haram dan kemudian meminta bukti untuk penafian.

Terdahulu, Asmuni dalam ucapannya turut mengingatkan para perwakilan supaya tidak leka dan memandang rendah terhadap gabungan Umno-Pas yang boleh memberi cabaran pada Pilihanraya Umum akan datang.

"Jika dilihat atas kertas gabungan UMNO-Pas memang boleh menumbangkan beberapa kerusi kita tetapi keadaan sebenar hanya diketahui pada pilihan raya jadi kita kena bersedia dari sekarang dan jangan berlengah merangka strategi yang terbaik untuk berhadapan pihak lawan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, terpulang kepada kebijaksanaan ahli parti untuk memilih barisan kepimpinan negeri dan tidak pernah menggunapakai sistem cai dalam membuat pemilihan calon sama ada di peringkat negeri atau nasional.

Beliau, yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri berkata, pihaknya lebih selesa menggunakan istilah semangat berpasukan pada pemilihan Pemuda Amanah yang sedang berlangsung ketika ini.

Hasnul berkata, isu itu timbul selepas kem Pemuda Bekerja di bawah pasukannya memperkenalkan senarai calon yang diketengahkan yang mana sebahagiannya calon kepimpinan di peringkat Pemuda Amanah Nasional.

"Kita memberi ruang kepada perwakilan dalam tempoh tiga bulan sebelum pemilihan (calon kepimpinan Pemuda Amanah Nasional) untuk menilai sejauh manakah kemampuan senarai calon yang dikeluarkan.

"Jadi, tidak ada sistem cai kerana istilah itu lebih kepada 'terpaksa memilih' (calon) seterusnya tidak diberi peluang kepada ahli parti untuk membuat pemilihan," katanya.

Amanah dijangka mengadakan pemilihan parti tahun ini, yang dimulakan dengan Mesyuarat Agung Tahunan peringkat kawasan bermula 1 Julai lepas sehingga 31 Ogos ini.

Buat masa ini, sayap pemuda Amanah dilihat berpecah kepada tiga kem iaitu Pemuda Bangkit, Pemuda Bekerja dan Pemuda Wibawa yang mempunyai pemimpinnya sendiri.

BERNAMA