SURAT TERBUKA KEPADA PM MALAYSIA

Dari seorang rakyat Malaysia yang cintakan keamanan

Kepada Tun Dr Mahathir bin Mohamad -- Perdana Menteri Malaysia

27 Ogos 2019

Assalaamu’alaikum WBT.

Tun,

Sejak akhir-akhir ini telah timbul suatu persepsi yang gawat di kalangan rakyat terutamanya orang-orang Melayu. Usaha yang giat sedang dijalankan oleh sekumpulan orang-orang yang boleh menggugat keselamatan negara, keamanan masyarakat dan kesejahteraan rakyat. Keharmonian hidup rakyat dalam masyarakat berbilang kaum sedang cuba dicabar, dan toleransi antara kaum sedang cuba diganggu-gugat. Paling dikesalkan ialah segala usaha yang eksplosif itu dicetuskan atas nama Melayu-Islam.

‘Perpaduan Ummah’ adalah percikan api yang dicucuh dan ditiup oleh PAS, kemudian UMNO menambah bara lalu mengipasnya untuk membakar semangat perkauman kepada orang Melayu. Akan tetapi segala usaha itu terencat di situ dan api tidak mampu menjadi marak untuk membakar perpaduan dan keharmonian rakyat jika tidak kerana ada pihak yang menyimbahkan minyak petrol untuk menghangatkan nyalaan api. 

Kenyataan Mufti Perlis kononnya ‘Islam terancam’ di bawah kerajaan PH adalah curahan minyak petrol ke atas bara dan percikan api yang dinyalakan oleh PAS dan UMNO. Ketiga-tiga pihak menjadikan Zakir Naik sebagai kayu api untuk terus membakar semangat perkauman yang memungkinkan perkara yang lebih buruk berlaku dalam masyarakat.

Itulah gambaran kasar tentang senario yang sedang berlaku sekarang. Semua pihak yang dulunya saling bertelagah kerana fahaman agama dan pendirian politik yang berbeza, kini sedang bergabung dan bersatu-padu atas satu matlamat yang sama, iaitu untuk menggugat keharmonian masyarakat dan rakyat, untuk menimbulkan kekecohan dan huru-hara, dan akhirnya akan melaksanakan agenda sebenar mereka iaitu menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam PRU-14 yang lalu.

Saya mewakili rakyat yang menyokong kerajaan, yang bencikan rasuah, yang sayangkan negara, yang cintakan kedamaian, yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, yang menghormati prinsip Rukunegara, akan tetap berdiri teguh menyokong segala usaha Tun dan jemaah menteri untuk membaiki kerosakan negara yang ditinggalkan oleh Najib dan orang-orangnya, dengan ini sangat berharap agar pihak kerajaan terutama KDN dan PDRM akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menyekat usaha khianat pihak-pihak yang cuba menyalakan api perkauman yang boleh menggugat keamanan negara.

Kami orang Islam. Kami tidak suka Agama Islam yang suci ini dicemari, disalahgunakan untuk kepentingan peribadi, diperalatkan untuk mengelirukan orang ramai, dijadikan modal untuk menimbulkan kekacauan seolah-olah Islam ini agama yang menaja keganasan dan mengajar kejahatan. Itulah yang mereka cuba perlihatkan. Dan itu adalah suatu fitnah kepada Agama.

Sekian Terimakasih.

-Awang Malaya-