Program Desa Pintar bantu komuniti luar bandar teroka platform digital

Selain bermatlamat mengurangkan jurang digital antara luar bandar dan bandar, Program Desa Pintar Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diyakini boleh membantu usahawan dan komuniti luar bandar menjana pendapatan melalui platform digital.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program itu bermatlamat ‘merakyatkan’ ekonomi digital dengan menyediakan akses kepada rakyat untuk meraih pelbagai peluang menggunakan teknologi digital sekarang ini.

"… kita harap ia menjadi pemangkin pertumbuhan pasaran digital tempatan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media sempena majlis menandatangani MoU antara KPLB dan Rakan Strategik bagi Pelaksanaan Program Desa Pintar di sini, hari ini.

MoU dengan rakan strategik industri itu merangkumi latihan ‘reskilling’ dan ‘upscalling’, program pembangunan usahawan, libat urus interaktif, latihan dan penggunaan aplikasi e-marketplace serta pemasaran digital.

Antara rakan strategiknya adalah TM One Berhad, Axiata Digital Ecode Sdn Bhd, Samsung Malaysia Sdn Bhd, Vettons Sdn Bhd, EBDesk Malaysia Sdn Bhd dan Integriti Padu Sdn Bhd selaku rakan pelaksana Amazon Web Services.

Rina berkata, dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar, tumpuan harus diberikan kepada peningkatan pendapatan penduduk kampung dalam talian melalui capaian internet yang lebih meluas dan laju di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Rina berkata program yang dijangka dilancarkan pada September itu telah dilaksanakan secara rintis di Pusat Komuniti Desa Kompleks Penghulu Mukim Bukit Kepong, Labis, Johor diikuti dengan pembangunan blueprint Program Desa Pintar dan seterusnya melaksanakannya secara berperingkat di seluruh negara.

Menurutnya lagi, kewujudan ekonomi digital membolehkan masyarakat luar bandar menjana aktiviti ekonomi dan seterusnya meluaskan peluang pendidikan secara dalam talian.

BERNAMA