Program AED tingkat kesedaran orang awam pelajari pertolongan cemas

Program Defibrilasi Automatik Luar (AED) boleh meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mempelajari kaedah rawatan awal terutama dalam masalah serangan jantung.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata program yang diperkenalkan oleh St John Ambulans Malaysia (SJAM) itu adalah langkah yang amat ke hadapan dalam usaha organisasi itu untuk mendidik orang ramai mempelajari pertolongan cemas.

"Dengan program ini melalui penglibatan SJAM ia dapat meningkatkan lagi kesedaran orang awam mengenai keperluan untuk mempelajari pertolongan cemas seperti CPR (Cardiopulmonary Resuscitation), cara-cara penggunaan mesin AED dan sebagainya.

"Ini adalah kaedah rawatan awal yang sangat penting untuk semua orang tahu sebab ia boleh menyelamatkan nyawa sebelum perubatan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat SJAM di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi dan Pemerintah Agung SJAM Datuk Lai See Ming.

Program yang bertujuan membantu mengurangkan jumlah kes kematian akibat serangan jantung di tempat awam itu telah dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Julai lepas.

SJAM merancang untuk menempatkan mesin AED di beberapa tempat awam di sekitar Lembah Klang.

AED adalah peranti perubatan yang menganalisis irama jantung dan penyelamat kemudiannya dinasihatkan sama ada kejutan diperlukan untuk mendapatkan  semula denyutan jantung yang normal dan ia juga membolehkan responden pertama untuk menyediakan terapi menyelamatkan nyawa dalam minit kritikal sebelum ambulans tiba.

BERNAMA