Polis marin tahan dua lelaki tangkap ikan guna bahan letupan

Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan dua lelaki dengan hasil laut yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata lelaki masing-masing berumur 28 dan 22 tahun itu ditahan kira-kira 1.30 petang semalam susulan maklumat Unit Risikan Marin (URM) Semporna mengenai aktiviti itu di kawasan laut Kampung Tobo-Tobo.

"PPM Semporna berjaya menahan sebuah perahu berwarna hijau yang dijuragani oleh seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun dari Kampung Bangau Bangau di sini bersama seorang warga tempatan berumur 28 tahun dari kampung yang sama.

"Hasil pemeriksaan dalam ruangan perahu tersebut menemukan pelbagai jenis ikan lebih kurang lima kilogram yang disyaki diperolehi daripada aktiviti pengeboman ikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata barang rampasan dan dua lelaki itu dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

BERNAMA