PKR tolak cadangan undang-undang gangguan seksual untuk lindungi lelaki

PKR menolak cadangan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan tersebut dilihat tidak munasabah dan menghina golongan wanita.

"Cadangan tersebut juga memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terlibat dengan perbuatan keji," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan berkenaan yang diutarakan oleh Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid ketika membahaskan Rang Undang-Undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 di Dewan Negara, semalam.

Anwar turut meminta supaya Senator dari PKR itu menarik balik cadangan tersebut.

"Adalah lebih molek sekiranya kita memfokuskan terhadap agenda memartabatkan wanita dengan memperkasa undang-undang dalam menolak sebarang serangan seksual terhadap mereka," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Imran dalam satu kenyataan memohon maaf kepada semua atas kenyataannya itu serta menarik balik cadangan tersebut.

“Walaupun niat saya ikhlas tetapi tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar yang telah menyinggung ramai kaum wanita dan tidak kurang juga kaum lelaki kerana dianggap menghina.

“Oleh yang demikian, saya mohon jutaan maaf dan menarik balik cadangan yang saya kemukakan,” katanya.

BERNAMA