PKR tidak berpecah - Anwar

Tiada berlaku perpecahan ataupun wujud dua kem dalam PKR, tegas presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai ketidakhadiran timbalan presiden parti Mohamed Azmin pada beberapa mesyuarat barisan kepimpinan PKR sebelum ini.

Dalam mengulas lanjut akan hal itu beliau berkata Azmin telahpun mengemukakan sebab atas kebanyakan ketidakhadirannya itu dan oleh itu parti tidak perlu ambil apa-apa tindakan terhadapnya. 

 “Ada peraturan kalau tidak hadir tiga kali berturut-turut tanpa sebab, (akan) gugur jawatan. Kadang-kadang orang ini dia cuba bagi sebab jadi lembaga disiplin parti akan meneliti sebab itu betul atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Komuniti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, di sini, hari ini.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, menambah kini apa yang lebih penting adalah program parti berjalan seperti biasa dan pemimpin serta anggota parti terus setia dan memperjuangkan idealisme perjuangan parti.

BERNAMA