PH tidak menyimpang daripada landasan - Dr Mahathir

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata gabungan itu tidak menyimpang daripada landasan.

"Itu hanya persepsi mereka di luar," kata Perdana Menteri ketika ditanya sama ada PH telah menyimpang selepas Lim Kit Siang dilaporkan bertemu dengan beliau baru-baru ini untuk menggubal naratif baharu untuk PH.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Dr Mahathir berkata Lim datang berjumpa dengannya untuk berbincang mengenai isu perkauman yang dibincangkan secara negatif.

"Kami berpendapat orang ramai membincangkan isu berbaur perkauman dengan perasaan marah dan itu tidak sihat," katanya.

Ketika ditanya mengenai sentimen rakyat untuk Hari Kebangsaan tahun ini, Dr Mahathir berkata sentimen itu berbeza sekarang berbanding tahun lepas.

"Pada masa itu (tahun lepas) rakyat berasa selesa dengan penyingkiran kerajaan terdahulu dan mereka tidak melihat siapa yang membuat apa-apa ucapan," katanya.

Sekarang, beliau berkata rakyat mahu melihat keputusan yang mereka jangkakan dan ia tidak mudah dicapai.

Perdana Menteri berkata banyak perkara yang PH dijanjikan sebelum ini dibuat tanpa maklumat yang tepat contohnya mengenai hutang kerajaan, ia tidak menyedari bahawa jumlahnya lebih daripada RM1 trilion.

Dr Mahathir berkata kerajaan PH juga tidak dapat memberi bantuan RM450 kepada golongan bujang tidak seperti kerajaan terdahulu.

"Kami (PH) tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan secara percuma bagi mendapatkan sokongan. Kita tidak boleh melaksanakan perkara ini kerana kita tidak seperti itu, " kata Dr Mahathir.

BERNAMA