Percutian bertukar tragik, mayat Nora Anne ditemui

Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragik bagi remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari sebuah resort penginapan keluarganya.

Anak istimewa berumur 15 tahun itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan yang terletak kira-kira 60 kilometer dari sini.

Mayat remaja Ireland itu ditemukan selepas 10 hari dilapor hilang oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat -- berkeadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah.

Pengesahan identiti mayat itu dilakukan selepas pengecaman oleh ahli keluarga remaja malang itu di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan.

Lokasi penemuan itu terletak sekitar 2.5 km dari resort beliau dilapor hilang -- kawasan yang terletak dalam radius pencarian yang sebelum ini telah beberapa kali dilalui oleh kumpulan anggota mencari dan menyelamat (SAR).

Kurang 24 jam sebelum penemuan mayat itu, ibu bapa Nora Anne, mengumumkan secara terbuka melalui media massa ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga terjumpanya anak perempuan mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor pada sidang akhbar di Balai Polis Pantai di Seremban Negeri Sembilan pada petang Selasa, berkata setakat ini polis menjalankan siasatan di bawah kes orang hilang dan menunggu hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar.

Pencarian Nora Anne mendapat liputan meluas  daripada media tempatan dan antarabangsa yang siap ‘berkampung’ di kawasan itu sejak remaja itu dilaporkan hilang.

Pencarian itu juga mencuri tumpuan rakyat Malaysia untuk mengikuti setiap perkembangan operasi yang turut melibatkan sejumlah tenaga yang besar -- antaranya pakar penjejak terdiri anggota pasukan komando 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praaq, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, penduduk orang asli dan sukarelawan.

Pasukan mencari dan menyelamat melalui pelbagai cabaran dalam operasi itu memandangkan kawasan terlibat adalah kawasan hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit.

Selain itu, cuaca yang tidak menentu dengan hujan sejak tiga hari lepas turut menyebabkan tanah di kawasan itu becak dan licin.

Usaha mencari dan menyelamat turut dibuat melalui udara oleh Unit Udara PDRM dengan peralatan canggih serta penggunaan dron.

Selain pasukan dari Malaysia, polis dari Ireland, England dan Perancis juga berada di negara ini sejak minggu lepas bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja itu.

Sejurus ditemui dan anggota forensik membuat siasatan di lokasi penemuan, mayat remaja itu  diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat, proses formaliti untuk menentukan punca kematian selain bagi membolehkan ibu bapa membuat pengesahan.

Bedah siasat mayat remaja itu akan dilakukan pagi esok oleh Senior Patologi dari Kuala Lumpur.

 BERNAMA