Penyalahgunaan Logo Halal : Undang-Undang Sedia Ada Sudah Mencukupi


Tiada keperluan untuk kerajaan menggubal akta baharu melarang penggunaan tulisan jawi pada produk bukan Islam bagi mengelakkan kekeliruan pengguna beragama Islam negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pihaknya sedia maklum akan gesaan dikemukakan Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) itu setelah ianya diangkat sebagai resolusi dicapai menerusi persidangan diadakan di Kuala Lumpur kelmarin.

"Namun yang saya faham daripada apa dimaksudkan pertubuhan itu adalah tulisan jawi lebih merujuk logo halal dikeluarkan Jakim (Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia) dengan bertujuan bagi mengelakkan pengguna beragama Islam tertipu dengan status halal sesuatu produk.

"Sebenarnya tindakan mana-mana syarikat menyalahgunakan atau menipu label halal dikeluarkan Jakim adalah salah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan 'Halal') 1975.

"Saya berpendapat tiada keperluan satu akta baharu digubal kerajaan kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi bagi menangani sebarang penyalahgunaan logo halal Jakim pada masa hadapan," katanya kepada media pada majlis pelancaran Program Rahmah Peringkat Negeri Perak di Masjid Ubudiah, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang menggantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Mujahid berkata, mana-mana syarikat bukan Islam juga tidak boleh meletakkan logo halal dikeluarkan Jakim secara sesuka hati kerana status persijilan halal oleh jabatan itu hanya akan dilabel setelah mereka berdaftar, menjalani audit dan menerima pengesahan.

Menurutnya, pengguna beragama Islam juga tidak perlu khuatir dengan status halal sesuatu produk dikeluarkan syarikat bukan Islam kerana Jakim turut menyediakan satu aplikasi sosial dipanggil Verify Halal bagi memeriksa status halal sesuatu produk menerusi dalam talian.

"Selain itu, saya juga menyeru pengguna beragama Islam sekiranya berdepan kekeliruan dengan status halal sesuatu produk, mereka juga boleh menghubungi talian pertanyaan Jakim bagi mendapatkan pengesahan status halal sesuatu produk," katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan MCED menggesa Kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam.

Presidennya, Datuk Nazilah Idris berkata, tulisan jawi disalah guna akan mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/44629/BERITA/Nasional/Tiada-keperluan-gubal-akta-halang-tulisan-jawi-pada-produk-bukan-Islam