Pemegang lesen barang kawalan ditahan atas cubaan rasuah

Seorang pemegang lesen barang kawalan di Seremban 2, ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Seremban, kerana cuba merasuah sepasukan penguatkuasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri Johary Yacob berkata individu itu cuba merasuah penguatkuasa KPDNHEP, yang ketika itu sedang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis dipercayai menyimpan barang kawalan melebihi dari had dibenarkan, pukul 10.45 pagi, semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati bahawa pemilik premis berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, iaitu mempunyai dalam milikan had yang melebihi dari dinyatakan dalam lesen iaitu sebanyak 140 kilogram gas cecair petroleum pada satu-satu masa.

"Bagi mengelakkan diambil tindakan, pemilik premis berkenaan melakukan satu cubaan merasuah, dengan menawarkan sejumlah RM2,600.00. Bagaimanapun, pasukan penguatkuasa telah menahan pemilik premis itu dan suspek telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya memberi amaran kepada para peniaga, agar tidak melakukan cubaan merasuah terhadap mana-mana pegawai KPDNHEP negeri, kerana tidak akan berkompromi bagi kesalahan berkenaan.

BERNAMA