Mesyuarat EAC bincang usaha giatkan semula perniagaan, rancakkan pelaburan

Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini mengadakan mesyuarat kali kelima bagi membincangkan cadangan yang boleh dilaksanakan segera untuk menggiatkan semula aktiviti perniagaan serta merancakkan pelaburan domestik.

Urus Setia EAC, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataannya hari ini berkata mesyurat yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut membincangkan cadangan usaha untuk meningkatkan perbelanjaan isi rumah.

“Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan momentum pertumbuhan dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu,” menurut kenyataan itu.

Isu seperti pembiayaan perumahan, tahap keberhutangan isi rumah dan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana juga turut dibincangkan, katanya.

Mesyuarat EAC hari ini juga membincangkan cadangan penambahbaikan Dasar Pendidikan Negara dengan melibatkan semakan semula dasar pendidikan daripada peringkat prasekolah sehingga universiti, menurutnya.

“Cadangan ini akan dibuat dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak pemegang taruh dan pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Menurut kenyataan itu, kesejahteraan hidup rakyat turut diberi perhatian.

“Sejajar dengan hasrat itu, Program Sarapan Pagi (PSP) sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dibincangkan ke arah mewujudkan amalan gaya hidup sihat terutama dalam kalangan murid di peringkat awal persekolahan,” katanya.

BERNAMA