Malaysia kaji satu lagi tawaran bon Samurai dari Jepun - Dr Mahathir

Malaysia sedang mengkaji satu lagi tawaran bon Samurai dari Jepun, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ya, Jepun menawarkan pinjaman yang sangat murah, kini ia lebih rendah, oleh itu kami sedang mengkaji kaedah untuk menggunakan pembiayaan murah ini untuk mengatasi masalah kewangan kita," katanya kepada media selepas melancarkan Persidangan Pelancongan Dunia 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Mohamaddin Ketapi.

Laporan pada Mac menyebut Malaysia sedia menimbang untuk menerbitkan bon Samurai lain jika ia boleh memperoleh kadar yang sama dengan 0.63 peratus setahun seperti yang diperoleh dalam terbitan awal bon Samurai 200bil yen (RM8bil).

Bon Samurai ialah bon dalam denominasi yen yang diterbitkan di Tokyo, dan tertakluk kepada peraturan Jepun.

Kerajaan berjaya menerbitkan Bon Samurai pertama pada Mac dengan lebihan langganan 1.6 kali pada 324.7 bilion yen berbanding 200 bilion yen yang ditawarkan.

Bon itu dijamin oleh Japan Bank for International Cooperation (JBIC) dengan tempoh matang 10 tahun dengan kos penuh kepada kerajaan pada 0.63 peratus setahun.

Keuntungan daripada terbitan bon itu akan digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur, termasuk pembinaan sekolah, hospital, jalan dan utiliti.

BERNAMA