Kilang kenderaan elektrik pertama di Malaysia akan dibangunkan di Enstek

Kilang kenderaan elektrik yang pertama di Malaysia bakal dibangunkan di kawasan seluas 162 hektar di kawasan perindustrian Enstek, Nilai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata kajian daya maju untuk pembangunan kilang tersebut telah dijalankan.

"Menerusi kajian daya maju ini, kita akan melihat sama ada projek mega ini merupakan satu perniagaan yang strategik dan bersesuaian berdasarkan kepada pasaran dan juga tempatnya. Biasanya, kajian seperti ini mengambil masa satu tahun untuk diselesaikan.

"Bagaimanapun, jika kajian ini dapat diselesaikan dengan cepat, projek ini boleh bermula awal. Oleh kerana projek ini besar, ia tidak mudah dilaksanakan kerana banyak perkara perlu diambil kira.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri dan kerajaan pusat akan mengambil tindakan proaktif untuk memastikan pelaburan besar ini dapat direalisasikan. Ini yang sedang kita lakukan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Rafie berkata dari segi jangkaan awal, projek ini akan membabitkan pelaburan dianggarkan berjumlah lebih RM5 bilion.

Projek itu membabitkan kerjasama atau gabungan antara usahawan tempatan dan luar negara.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan butiran terperinci mengenai identiti pelabur swasta berkenaan kerana ia masih di peringkat awal.

"Ini bermakna, projek ini bukan hanya di peringkat negeri tetapi bersifat nasional. Industri automotif adalah industri yang besar dan saya yakin, jika projek ini berjaya, ia akan dapat merangsang ekonomi negara.

"Ia adalah projek mega yang sedang dirancang dan kerajaan akan membantu memastikan ia dapat dilaksanakan. Kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh supaya ia dapat direalisasikan dan berpusat di Negeri Sembilan," katanya.

Mohamad Rafie berkata pihaknya yakin perusahaan ini akan dapat menjana, meningkatkan dan merangsang ekonomi dalam negara.

“Jika projek ini dapat dilaksanakan, ia akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada pekerja tempatan dan perniagaan," katanya.

BERNAMA