Ketua cabang ada hak zahir sokongan kepada Presiden

Ketua cabang PKR berhak untuk menzahirkan sokongan kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan cara mereka sendiri, kata Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya beliau menghormati keputusan ketua-ketua cabang di seluruh negara mengumpul tandatangan bagi menyokong kepemimpinan Anwar kerana PKR adalah parti demokratik.

"Ia sekadar pernyataan sokongan, itu lumrah dalam politik. Ada yang sokong, ada tak sokong. Bentuk sokongan pula, ada yang diam ada yang zahirkan, jadi pilihan ketua-ketua cabang ini zahirkan (sokongan).

"Saya ingat biarlah proses itu, bukanlah menjejaskan ekonomi negara. Jadi ketua-ketua cabang ada pilihan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir sesi dialog menteri bersama belia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha hari ini yang dilaporkan berkata tindakan mengumpulkan tanda tangan pemimpin parti di peringkat cabang di seluruh negara bagi menyokong kepemimpinan Anwar sebagai membuang masa dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi.

Semalam Ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90 peratus atau 197 daripada 219 ketua cabang PKR di seluruh negara menyokong kepemimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Amin mendakwa semua ketua cabang itu telah dihubungi dan tanda tangan pengesahan mereka turut diperoleh berdasarkan perakuan mereka yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu.

Mengenai dialog berkenaan kos sara hidup itu, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata antara yang menarik perhatian ialah cadangan supaya mahasiswa daripada keluarga berpendapatan sederhana M40 yang besar turut dimasukkan sebagai penerima bantuan Food Bank Siswa.

"Mereka tergolong dalam keluarga M40 tetapi bilangan adik-beradik besar, jadi mereka mahukan sistem data penerima (Food Bank) lebih fleksibel, lebih anjal supaya tidak meninggalkan kelompok ini," katanya.

Saifuddin berkata kementerian akan meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh belia yang hadir pada sesi dialog itu yang mewakili 41 persatuan belia dari seluruh negara.

BERNAMA