Kegagalan komponen brek punca lif PPR Kerinchi terhempas


Kegagalan komponen dalam sistem brek lif berfungsi dengan baik menjadi punca kejadian lif Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini terhempas 2 Ogos lepas, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata berdasarkan siasatan forensik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) terhadap kotak hitam lif berkenaan mendapati satu daripada pelocok pada bahagian brek itu mengalami kerosakan dan menyebabkan ia tidak dapat mencengkam dram bagi memberhentikan lif dengan baik.

"Pada hari kejadian, brek itu tidak berfungsi dengan baik oleh kerana pelocok tersekat. Apabila tersekat maka brek tidak dapat mencengkam dram untuk menghentikan lif di tingkat lima, jadi itu sebab lif jatuh terhempas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKKP Omar Mat Piah dan Pengarah Bahagian Forensik Kejuruteraan JKKP Salina Tukimin.

Beliau berkata lif itu termasuk sistem brek sudah pun melalui proses pemeriksaan seminggu sebelum kejadian oleh kontraktor yang dilantik dan keadaannya disahkan berfungsi dengan baik.

Khalid juga menjelaskan, ketika kejadian sistem brek kecemasan lif berfungsi dengan baik namun kelajuan jatuhan lif tidak mencapai tahap yang membolehkan sistem brek kecemasan diaktifkan.

Beliau berkata had kelajuan bagi membolehkan sistem brek kecemasan diaktifkan ada dua iaitu bagi brek elektrikal 2.18 meter sesaat dan 2.26 meter sesaat bagi brek mekanikal.

"Oleh kerana kelajuan jatuhan lif ketika ia terhempas ialah 2.13 meter sesaat maka kelajuan itu tidak sampai pada tahap yang boleh mengaktifkan gear keselamatan sistem brek kecemasan lif," katanya.

Beliau berkata siasatan kejadian itu telah selesai dan pihaknya merancang bertemu dengan pengeluar sistem brek lif termasuk mendapatkan manual model bagi meneliti penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi masa akan datang.

Dalam kejadian di PPR Kerinchi pada 2 Ogos lepas, lapan orang termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas lif yang mereka naiki terhempas dari tingkat lima pangsapuri berkenaan.

BERNAMA