Kebebasan media perlu digunakan dengan berdisiplin dan tanggungjawab


Media tempatan di negara ini perlu menggunakan kebebasan diberi oleh kerajaan dengan berdisiplin dan penuh tanggungjawab serta tidak memainkan isu yang boleh mengapi-apikan sentimen kaum dan agama, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia  Eddin Syazlee Shith.

Katanya walaupun demikian, pihaknya memahami bahawa media memerlukan berita yang mempunyai 'sengat' untuk menarik minat pembaca untuk membeli akhbar atau mengunjungi laman portal mereka.

"Dalam mencari cerita yang seperti ini kita perlu mengimbanginya dengan etika kewartawanan yang berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara seperti Kesopanan dan Kesusilaan dan prinsip lain yang sesuai dengan etika kewartawanan.

"Kita tidak mahu berita seperti ini disensasikan atas maksud yang boleh menyemarakkan api kebencian antara kaum, tetapi saya fikir pihak media tidak berniat berbuat demikian (menyemarakkan api kebencian antara kaum), mereka hanya melaporkan isu ini mengikut nilai berita yang ada sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa pihak media tidak lagi mengapi-apikan isu perkauman dan agama supaya bahang ketegangan antara kaum ketika ini kembali reda.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke kejohanan rugbi 10 sebelah anjuran kementeriannya dan Kelab Rugbi Home of Warriors di sini malam tadi.

Eddin berkata  sebagai pembaca, seseorang itu perlu meneliti dan membaca keseluruhan kandungan berita yang ditulis untuk memahami konteks sebenar berita berkenaan.

Ketika ditanya sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan meningkatkan pemantauan terhadap media tempatan dan pengguna laman sosial, Eddin Syazlee berkata belum ada ketetapan daripada pihak kerajaan untuk berbuat demikian.

"Kerajaan masih mengamalkan keterbukaan cuma dalam perkara 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) jika isu ini dimainkan SKMM akan mengambil tindakan yang tegas.

"Selain daripada itu (3R) insha-Allah, kita (kerajaan) tetap berpegang kepada prinsip memberikan kebebasan yang sepatutnya kepada pihak media," katanya.

BERNAMA