Kebakaran rumah kedai di Taman Bukit Indah dipercayai perbuatan khianat - Polis

Kebakaran di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Indah, di sini, pagi tadi, yang meragut nyawa dua wanita dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata berdasarkan penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis menjual barangan cat dan perkakas rumah itu, kelihatan seorang lelaki yang tidak dikenalpasti membawa botol plastik dipercayai mengandungi minyak untuk melakukan pembakaran.

“Kebakaran disyaki berpunca dari luar premis bahagian belakang tingkat bawah berjeriji yang kemudian dipecah masuk oleh bomba untuk memadam kebakaran. Terdapat bau minyak di belakang premis itu yang disyaki tempat bermula kebakaran.

“Pihak bomba telah memadamkan kebakaran dan punca kebakaran disyaki cecair seperti minyak. Bagaimanapun, punca kejadian sebenar tidak diketahui dan masih dalam siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata premis yang disewa sejak 2013 tersebut merupakan bangunan dua tingkat di mana tingkat atas dijadikan tempat tingggal dan mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu, dapur serta stor simpanan cat.

Beliau berkata kesemua mangsa melibatkan seorang lelaki berumur 44 tahun, isterinya berumur 40 tahun, ibu lelaki itu yang dianggar berumur 60 tahun, anak saudara perempuannya berumur 20-an serta anak lelakinya berumur enam tahun.

Katanya, ibu dan anak saudara perempuan lelaki berkenaan meninggal dunia di rumah kedai itu dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat manakala lelaki itu bersama isteri dan anak lelakinya turut dirawat di hospital sama.

“Polis dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada 5.56 pagi tadi dan siasatan di tempat kejadian dilakukan pegawai forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor serta pasukan forensik bomba.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api dan mati mengejut,” katanya.

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan II Inggai Anak Bakau memaklumkan kejadian berkenaan diterima pihaknya pada 4.34 pagi tadi menerusi talian MERS 999 dan seramai 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Larkin dan Skudai bersama enam jentera bergegas ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat dan pemadaman.

BERNAMA