Jalur Gemilang besar megah di Putrajaya


Orang ramai yang melalui Jambatan Seri Gemilang, di sini, pasti akan digamit dengan kehadiran Jalur Gemilang gergasi yang terbentang megah pada bahagian bukit di hadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bendera sebesar 30x60 meter yang bersamaan dengan bangunan tujuh tingkat itu siap dipasang lewat petang semalam sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 pada 31 Ogos ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata bendera itu mengambil masa tiga hari untuk dipasang melibatkan tenaga kerja seramai 20 orang.

"Pada mulanya kami hendak letakkan di Persiaran Sultan Salahuddin, tetapi kita merasakan untuk strateginya lebih baik diletakkan di PICC.

"Jadi, orang ramai yang berada di Dataran Putrajaya (untuk acara sambutan) nanti, di satu hujung jalan itu ada arca Putrajaya (di Dataran Putra) dan di hujung lagi satu ada bendera besar," katanya kepada media.

Putrajaya adalah tuan rumah bagi acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019. Tema Hari Kebangsaan tahun ini adalah Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Aminuddin berkata PPj merancang untuk mengekalkan Jalur Gemilang tersebut sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti, namun ia mungkin akan terus dikekalkan sekiranya ia kukuh.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata PPj menjangkakan kira-kira 500,000 pengunjung akan membanjiri Putrajaya pada sambutan Hari Kebangsaan nanti, memandangkan festival bunga antarabangsa, Floria Diraja Putrajaya, akan turut bermula pada tarikh tersebut.

Floria Diraja Putrajaya 2019 akan berlangsung dari 31 Ogos sehingga 8 Ogos di Taman Botani, Presint 1.

BERNAMA