Input perlu bagi pastikan inisiatif kerajaan relevan - TPM

Input daripada rakyat amat diperlukan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sentiasa relevan serta menepati keperluan dan kehendak rakyat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memerlukan sokongan rakyat dalam membantu menyebarkan maklumat mengenai semua insiatif yang sudah dirancang.

Beliau berkata kerajaan kini dalam usaha untuk membangunkan negara dengan melaksanakan pelbagai inisiatif berpaksikan kepentingan rakyat, berdasarkan kemampuan dan kesesuaian mekanisme pelaksanaannya.

"(Oleh itu) Saya menyeru kepada semua untuk menyokong, menyebarkan maklumat dan memberikan maklum balas melalui saluran yang betul agar usaha kerajaan dapat disebar luas kepada semua golongan sasaran dengan lebih berkesan.

"Janganlah pula tidak bertanggungjawab menyampaikan cerita yang bukan-bukan," katanya ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Jeti Semeling, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah juga menyeru supaya semua ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memainkan peranan masing-masing sebagai titik penghubung kepada rakyat di peringkat akar umbi bagi membantu dan menyampaikan aspirasi rakyat kepada kerajaan dan sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar sentiasa bekerjasama dalam usaha mengangkat isu rakyat sebagai keutamaan dalam semua tindakan.

Pada majlis itu, lebih kurang 20 agensi kerajaan mengambil bahagian antaranya Jabatan Penerangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Universiti Teknologi MARA Kedah, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Sungai Petani.

BERNAMA