Hayati konsep Sayangi Negaraku, bersatu sebagai keluarga - Wan Azizah


Rakyat perlu menghayati konsep ‘Sayangi Malaysiaku’ dan bersatu sebagai sebuah keluarga tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata sebagai seorang yang mencintai negara, rakyat harus berusaha menjadi contoh yang terbaik dengan menjadi seorang yang jujur, berintegriti dan sentiasa mengutamakan negara dalam segala hal.

Katanya, ia adalah asas kepada kekuatan sebuah negara serta penentu kepada kejayaan atau kehancuran sesebuah negara itu.

 “(Tema Hari Kebangsaan) Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’. Pada saya, ia bermaksud mencintai negara kita yang berbilang bangsa dan agama. Ia membawa erti bahawa kita perlu berusaha menjadi contoh rakyat Malaysia yang terbaik.

“Menghayati makna ‘Sayangi Malaysiaku’ bermaksud menghormati dan menyayangi sesama kita, berada di sisi mereka yang memerlukan dan yang paling penting, adalah sikap saling toleransi antara kita,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 hari ini.

Wan Azizah berkata bagi menjaga keutuhan sebagai sebuah keluarga di negara yang merdeka ini, rakyat hendaklah menolak sebarang bentuk diskriminasi dan mempercayai antara satu sama lain meskipun berbeza latar belakang dan peringkat umur.

“Di dalam sebuah keluarga, tiada siapa akan ditinggalkan. Setiap wanita, setiap kanak-kanak, setiap warga emas, setiap orang kurang upaya, setiap keluarga; setiap rakyat. Kita adalah keluarga… keluarga rakyat Malaysia. Tiada siapa yang dapat memisahkan kita,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata: “Hari ini, kita meraikan Malaysia. Hari ini, kita meraikan rakyat dan sejarah negara kita. Hari ini, kita menghargai pasukan beruniform kita yang mempertaruhkan nyawa untuk keselamatan negara.

“Hari ini, kita berjanji mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Hari ini, kita bertuah berada di sebuah negara yang bernama Malaysia. Malaysia…Negara yang kusayangi…untuk selama-lamanya”.

BERNAMA