Hasil bedah siasat akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya - Polis

Polis tidak pernah sama sekali menghentikan siasatan berhubung kematian remaja istimewa warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, dan laporan hasil bedah siasat ke atas mayatnya akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya, kata Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman.

"Siasatan masih dijalankan dan itu adalah prosedur siasatan. Sebaik sahaja terima hasil ‘post-mortem’ (bedah siasat), kita akan rujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan lanjut, di mana tidak pernah kita menutup siasatan ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan remaja malang berkenaan selepas majlis penutup Pertandingan Kawad Kaki KOR Kadet Polis di sini.

Laporan bedah siasat pada Khamis lepas (15 Ogos) mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada Jumaat selepas proses dokumentasi selesai.

Mengulas mengenai laporan media asing yang mendakwa polis terlepas pandang beberapa petunjuk penting ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan memetik sumber polis, Che Zakaria bagaimanapun menafikan perkara itu.

"Setakat ini kita tiada (memberikan apa-apa) statement mengenai itu. Setahu saya tiada sebarang statement yang diberi oleh saya, Ketua Polis Daerah (Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar) dan Ketua Polis Negeri (Datuk Mohamad Mat Yusop) yang boleh bagi statement kepada media," katanya.

Ditanya mengenai ganjaran RM50,000 yang ditawarkan keluarga Nora Anne kepada pihak yang dapat memberi maklumat sehingga menemui anak mereka, beliau berkata pihaknya tiada kaitan berhubung ganjaraan itu, sebaliknya ia adalah urusan keluarga.

Che Zakaria yang turut ditanya adakah menjadi kesalahan kepada mana-mana pengusaha resort tidak memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka, bagaimanapun berkata ia di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Nora Anne, bersama-sama ibu bapanya Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 3 Ogos, sehari sebelum kehilangannya.

Mayat Nora Anne, gadis istimewa itu ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan sejak 4 Ogos lepas.

Dalam perkembangan lain, Operasi Blue Devil yang dilaksanakan pada 13 Ogos lalu oleh Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah mengesan seramai enam anggota polis di negeri ini positif pelbagai jenis dadah.

"Setakat ini enam anggota polis diperiksa dan positif pelbagai jenis dadah, kita akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini dilapor sebagai berkata lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi 'Op Blue Devil' yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lepas.

BERNAMA