Halfest Memperkasa Orang Melayu


Penganjuran Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2019 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sahaja mengetengahkan industri halal negara malah turut membantu memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya golongan Bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, antara usaha yang akan diberi tumpuan dalam pameran halal terbesar itu termasuk mencari peluang suai niaga (business matching) kepada usahawan berkenaan.

Katanya, usaha itu dilihat dapat menghubungkan usahawan dengan pembeli, pemborong, pengeksport mahu pun peruncit seluruh negara.

“Usaha ini jelas dapat membuka ruang dan peluang kepada semua IKS untuk melakukan suai niaga yang membolehkan mereka bukan sahaja melakukan kerjasama dengan syarikat besar lain bahkan memasarkan produk dalam dan luar negara.

“Program ini juga bertujuan memperhebatkan industri halal secara berterusan sekali gus menjadikan Jakim sebagai sumber rujukan dalam produk halal global,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Halfest Jakim 2019 akan berlangsung di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan, dekat sini pada 4 hingga 8 September depan. - UTUSAN ONLINE