Bentuk bantuan mangsa ribut di Pulau Pinang masih dalam perbincangan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih belum menentukan bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada 2,022 keluarga yang terlibat dalam kejadian ribut pada Jumaat lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau telah menerima laporan daripada semua Pejabat Daerah berhubung jumlah mangsa terjejas yang melibatkan 895 keluarga di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (183), Seberang Perai Selatan (69), Barat Daya (406) dan Timur Laut (469).

"Pihak exco masih membincangkan bentuk bantuan yang akan diberikan. Perbincangan tentang bentuk bantuan akan disambung dalam mesyuarat exco petang ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Jumaat lepas, beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan kawasan lain di wilayah utara dilanda ribut petir serta angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang itu mengakibatkan lebih 300 pokok tumbang di Pulau Pinang dan tiga pusat pemindahan sementara dibuka untuk menempatkan 71 orang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Yeoh Soon Hin yang turut hadir pada sidang media itu mengumumkan Festival Makanan & Budaya Asia Pulau Pinang (eng: Penang Asian Food & Culture Festival) akan berlangsung selama tiga hari bermula 13 Sept depan diadakan serentak di lima lokasi berlainan di negeri ini.

Beliau berkata festival yang julung kalinya diadakan itu memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai makanan dari lima buah negara Asia iaitu Jepun, Thailand, China, Indonesia dan Korea Selatan selain mengalami sendiri kepelbagaian budaya, warisan, seni dan alam semula jadi yang terdapat di situ.

"Festival ini bukan sahaja memberi fokus kepada jenis makanan malah setiap tuan rumah lokasi festival tersebut akan turut menyediakan kiosk bertemakan 'street food' agar para pengunjung boleh menghayati suasana menjamu selera seumpama berada di negara hos itu," katanya.

Bertemakan 'Nikmati Rasa Asia di Pulau Pinang' (eng: Experience Penang, Taste Asia), Festival anjuran Cake Experiential Communications dan disokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu akan diadakan di lima buah pusat membeli belah di negeri ini iaitu Gurney Paragon Mall yang menjadi tuan rumah kepada makanan Jepun, 1st Avenue (Thailand), Queensbay Mall (Korea Selatan), Gurney Plaza (China) dan Sunway Carnival Mall di Seberang Jaya menampilkan pelbagai makanan dari Indonesia.

BERNAMA