Banyak acara perniagaan, lebih banyak pelawat perniagaan ke Malaysia


Lebih banyak acara perniagaan diadakan di Malaysia bermakna lebih ramai pelawat perniagaan berkunjung ke negara ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata acara seperti Minggu Acara Perniagaan Malaysia (MBEW) 2019 yang dianjurkan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) adalah seiring dengan aspirasi kementerian untuk mencapai 30 juta ketibaan pelancong pada 2020.

Beliau berkata pelawat perniagaan dan perwakilan antarabangsa yang datang ke sini untuk menghadiri seminar dan persidangan cenderung untuk tinggal lebih lama serta mereka mempunyai kuasa beli yang lebih berbanding pelancong biasa.

Istilah 'bleisure' (gabungan lawatan perniagaan dan bersenang-senang) digunakan untuk menggambarkan jenis perjalanan perniagaan baharu ini, memandangkan pelawat cenderung melanjutkan tempoh berada di negara ini selepas acara yang mereka hadiri tamat.

"Mereka menghabiskan lebih masa untuk menikmati pengalaman di bandar-bandar Malaysia, mereka mempunyai lebih banyak kuasa beli produk tempatan kita...mereka biasanya pelancong mewah," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama selepas merasmikan acara itu, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif  MyCEB Datuk Zulkefli Sharif.

Muhammad Bakhtiar berkata Malaysia mampu menjadi destinasi acara perniagaan dengan kelebihan seperti kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia, banyak tempat penginapan, lokasi unik dan rekod prestasi yang baik dalam menjadi hos pelbagai acara perniagaan yang penting.

MBEW diadakan setiap tahun dan merupakan platform strategik yang dibina untuk pihak berkepentingan industri berkumpul, berkomunikasi dan berdebat mengenai isu-isu yang memberi impak kepada pertumbuhan masa depan serta kemapanan industri acara perniagaan.

Sementara itu, Zulkefli berkata sejak penubuhan MyCEB sehingga 2018, ia telah berjaya memperoleh lebih 1,100 acara antarabangsa, menjana kira-kira RM 8.5 bilion dalam anggaran impak ekonomi kepada Malaysia.

"Tahun lepas sahaja, MyCEB dan rakan industri kami berjaya memperoleh 152 acara akan datang yang terdiri daripada persidangan antarabangsa, program kumpulan insentif dan pameran perdagangan yang akan membawa kepada anggaran impak ekonomi sebanyak RM1.58 bilion dan ketibaan 102,211 perwakilan antarabangsa.

“Ia adalah perniagaan yang perlu diambil serius memandangkan sumbangannya kepada negara adalah penting dan melengkapkan ekonomi kreatif dan pengetahuan,” katanya.

BERNAMA