USIM ketengah produk inovasi pada Hari Muzium Antarabangsa 2019

Penglibatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) peringkat kebangsaan yang diadakan di perkarangan Muzium Sabah, Kota Kinabalu baru-baru ini adalah untuk menonjolkan budaya ilmu, menyelidik dan mempromosi USIM melalui bidang penyelidikan, seni Melayu, penerbitan buku, produk inovasi dan sebagainya.

Pengerusi Jawatankuasa Muzium dan Galeri USIM Nor Azzah Momin berkata pengalaman menyertai HMA ini juga adalah sebagai langkah awal kepada USIM bagi mendapatkan pengalaman dan input menarik untuk menubuhkan galeri dan muzium USIM yang tersendiri dalam masa terdekat.

“Dengan penyertaan ke HMA ini kita dapat meningkatkan keternampakan (visibility) USIM di peringkat antarabangsa dengan bersama-sama Jabatan Muzium lain yang turut mengadakan pameran kebudayaan dan kesenian tersendiri.

"Pihak penganjur juga mengharapkan agar USIM dapat membantu masyarakat menerusi pemerkasaan bahasa Arab untuk tujuan memahami kandungan al-Quran dan ia menjadi satu cabaran kepada USIM untuk membantu mendidik masyarakat memahami bahasa Arab terutama di Sabah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya apa yang menarik pada kali ini ialah penyertaan produk-produk inovasi USIM antaranya 'Muamalat Interactive Game' (MIG) yang diketuai oleh Dr Syahidawati Shahwan yang memfokuskan kepada perancangan dan pengurusan kewangan Islam dan 'Hamoody Flash Card' oleh Hamadallah Mohammad Salleh yang bertujuan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Arab terutama kepada mereka yang tidak mahir berbahasa Arab, turut mendapat sambutan pengunjung.

Selain itu, katanya Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) yang diterajui oleh Institut Sains Islam (ISI) yang memperkasa pendidikan agama kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) khususnya OKU penglihatan, pendengaran dan pembelajaran telah mengadakan siri kempen kesedaran al-Quran untuk OKU yang dihadiri oleh 24 siswa guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Sabah.

Sementara itu, Ketua Penyelidik UMMI, Norakyairee Mohd Raus berkata pengalaman yang diberikan ini memberi peluang kepada kumpulan UMMI untuk melebarkan kesedaran dan kefahaman berkaitan isu sebenar komuniti OKU kepada peserta yang hadir.

"Sikap masyarakat dan akses persekitaran yang mesra OKU perlu dipertingkatkan agar komuniti OKU ini tidak merasa terasing dan melalui platform sebeginilah kami di UMMI mencuba untuk mengubah set minda masyarakat.

“Klinik Quran Braille dan Klinik Quran Isyarat yang diadakan selama dua jam pada hari terakhir pameran HMA yang diadakan di Muzium Tamadun Islam Sabah sememangnya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta kerana mereka teruja dengan ilmu baharu yang mereka peroleh menerusi program ini," katanya.

Di samping itu, katanya produk inovasi daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST) iaitu 'Fast Lab' atau kit pendidikan sains untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai pembelajaran sains dengan cara  lebih menarik dan interaktif mendapat sambutan hangat pengunjung melalui jualan produk Fast Lab seperti Slime Kit, Soap Kit, DIY Perfume dan Molecule Discovery Kit.

HMA 2019 peringkat kebangsaan dengan tema 'Muzium sebagai Hab Kebudayaan: Masa Depan Tradisi' berlangsung di Muzium Sabah selama lima hari mulai 15 Julai lepas.

USIM adalah antara 27 agensi kerajaan yang mengambil bahagian pada HMA itu selain pelbagai institusi pendidikan, Jabatan Muzium setiap negeri, Bank Negara Malaysia dan lain-lain.

BERNAMA