Undi 18: tenaga, akal anak muda perkuat demokrasi Malaysia - Dr Mahathir

Demokrasi di Malaysia akan dikuatkan dengan tenaga dan akal fikiran anak muda yang bakal diberi peluang, ruang dan suara untuk bersama-sama berganding bahu mencorak negara melalui pilihan raya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini, Dr Mahathir berkata bagi tujuan itu, kerajaan telah mencadangkan Malaysia menurunkan had umur mengundi dan had umur calon pilihan raya seawal 18 tahun.

Katanya secara umum kesedaran politik di kalangan belia telah meningkat, dengan pemikiran serta kematangan golongan berkenaan terlihat lebih ke hadapan, sesuai dengan kemajuan yang dinikmati negara.

"Mereka ini terdedah kepada maklumat yang luas, pengaruh media massa dan kemajuan teknologi maklumat menjadikan mereka golongan pintar, matang berfikir, berdikari dan lebih bermaklumat.

"Kerajaan kini percaya mereka mampu mengimbangi keperluan menuntut ilmu dan kemahiran dengan kesedaran politik serta tanggungjawab mencorakkan masa hadapan negara yang lebih cerah," katanya dan menambah ia juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan warganegara yang bertanggungjawab.

Selain menurunkan had umur mengundi dan had umur calon pilihan raya seawal 18 tahun, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu juga mencadangkan mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dr Mahathir berkata sekiranya pindaan berkenaan diluluskan, kerajaan menjangkakan seramai 7.8 juta pengundi baharu dimasukkan ke dalam daftar pemilih setiap tahun sehingga tahun 2023.

Katanya kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.

Menarik perhatian, Perdana Menteri berkata sejak peralihan kerajaan pada Mei tahun lepas, negara terus aman dan stabil membolehkan pindaan undang-undang dan pemansuhan undang-undang yang menindas, dilaksanakan.

"Saya menyeru agar kita sama-sama pastikan kita lulus pindaan ini dengan memberikan sokongan majoriti lebih dua pertiga dan mencipta sejarah baharu Malaysia," katanya yang memohon sokongan 222 Ahli Parlimen.

Dr Mahathir berkata kerajaan mengalu-alukan cadangan blok pembangkang yang bersetuju belia berumur 18 bukan sahaja diberi hak mengundi tetapi juga menjadi calon pilihan raya dan komitmen blok pembangkang sebelum ini untuk menyokong pindaan berkenaan.

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun pertama kali dibentangkan pada 4 Julai sebelum ditarik balik pada 10 Julai bagi memasukkan cadangan pindaan berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.

Perdana Menteri berkata bagi melaksanakan dan menguatkuasakan pindaan berkenaan, beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 perlu dibuat.

Selain itu, bagi membolehkan penurunan had umur calon Dewan Undangan Negeri dilaksanakan, kerajaan negeri disaran untuk membuat pindaan terhadap peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing.

“Dewan yang mulia ini menyeru dan berkeyakinan penuh bahawa kerajaan negeri akan menyokong pindaan ini dan akan turut mneminda peruntukan yang berkaitan.

“Justeru itu, saya menyeru semua Ahli Yang Berhormat di dewan yang mulia ini, agar sama-sama merealisasikan hasrat kita semua untuk membuka peluang kepada anak-anak muda menyumbang tenaga dan idea demi memperkasakan demokrasi negara,” katanya. 

Pada ketika ini, hanya Malaysia dan Singapura di ASEAN serta beberapa negara lain seperti Samoa, Tonga, Cameroon, Kuwait, Oman dan Lubnan yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun manakala beberapa negara di Eropah telah mula menurunkan had umur mengundi yang lebih rendah daripada 18 tahun kepada 16 tahun seperti Austria dan Scotland.

"Berikutan perkembangan di seluruh dunia ini, maka golongan belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun," katanya.

BERNAMA