Turki alu-alukan lebih banyak pelaburan dari Malaysia, terutamanya dalam sektor pertahanan - Erdogan

Turki harap lebih banyak syarikat Malaysia akan melabur di negara ini, terutamanya dalam industri pertahanan.

Presidennya Recep Tayyip Erdogan berkata industri pertahanan perlu menjadi topik utama perbincangan antara kerajaan Malaysia dan Turki serta sektor swasta.

Selain itu, katanya kerjasama perdagangan perlu ditingkatkan, menyatakan kedua-dua negara telah mengekalkan hubungan dua hala yang baik sejak 1964.

“Saya percaya jumlah perdagangan perlu lebih baik. Kita boleh menumpukan kepada bidang tertentu. Dari segi kerjasama perniagaan, setiap peringkat perlu ditingkatkan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Kompleks Presiden di sini pada Khamis.

Erdogan berkata beliau dan Dr Mahathir telah membuat keputusan penting untuk bekerjasama pada masa akan datang, terutamanya dalam sektor ekonomi.

Terdahulu, Dr Mahathir melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), merupakan pusat teknologi Turki dalam aspek reka bentuk, pembangunan, pemodenan, pembuatan, integrasi dan sokongan kitaran hayat sistem aeroangkasa bersepadu, merangkumi platform udara sayap tetap dan sayap berputar serta UAV dan satelit.

Turki merupakan rakan ekonomi yang penting kepada Malaysia. Pada 2018, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM9.79 bilion.

Eksport dari Malaysia ke Turki sebanyak RM7.97 bilion manakala import dari Turki ke Malaysia berjumlah RM1.82 bilion.

Turki adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dari Asia Barat manakala bagi Turki, Malaysia merupakan rakan terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN.

BERNAMA