Tahniah Kerajaan PH Atas Pembentangan RUU Profesion Guaman Syarie (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN)2019



1.KANUN mengucapkan kesyukuran atas kelulusan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan)2019 (D.R. 18/2019). Sempena itu KANUN juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan PH khasnya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa serta seluruh pegawai JAKIM, Mahkamah Syariah, MAIWP, Peguam Negara dan rakan peguam syarie yang bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh mahu memastikan RUU bersejarah ini dapat dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

2.Dengan pembentangan ini sekaligus dapat menutup mulut pihak BN dan PAS yang selama ini galak menyebarkan fitnah bahawa Islam terancam di zaman pemerintahan PH. Pembentangan ini juga mendedahkan tembelang BN dan PAS bahawa DAP adalah musuh Islam yang akan sedaya-upaya menyekat kedaulatan Islam.

3.Jika dilihat sepanjang perbahasan RUU ini di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen bukan Islam khasnya daripada DAP langsung tidak menyentuh apa-apa berkaitan RUU ini. Malah mereka telah bersama menyokong Penuh RUU ini diluluskan.

4.Sesungguhnya RUU ini telah mendedahkan bahawa kerajaan PH amat komited dengan perkembangan agama Islam. RUU ini adalah berkaitan untuk meningkatkan profesionalisme peguam syarie di Wilayah Persekutuan. Dengan adanya RUU ini martabat peguam syarie akan dapat ditingkatkan khasnya dengan kewujudan Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie yang akan mengawal selia profesion ini seluruhnya tanpa campurtangan pihak eksekutif. Selepas ini, peguam syarie akan dapat membawa kes dengan sebaiknya tanpa khuatir sama ada pihak eksekutif kelak akan menghalang pembaharuan sijil amalan guaman tahunan mereka kerana kelantangan mereka dalam membawa kes. Selain itu, orang awam juga akan mendapat manfaat yang menyeluruh kerana kerangka amalan peguam syarie akan menjadi lebih telus dan jelas serta proses aduan salah laku menjadi lebih tersusun. Saat-saat yang bersejarah telah tercipta. Pembentangan RUU ini adalah sangat mustahak untuk menaik taraf salah satu komponen penting dalam pentadbiran dan perjalanan Undang-undang.

5.Pendekatan yang dibawa oleh YB Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang meneruskan usaha untuk memartabatkan profesion peguam syarie yang telah bermula semenjak tahun 1984 menunjukkan kematangan berpolitik yang mana beliau tidak mengenepikan perkara yang baik yang dibuat oleh orang yang terdahulu. Beliau juga mengambil langkah untuk berunding dengan semua stakeholders (pemegang taruh) dan tidak membuat langkah songsang seperti langkah PAS dalam hal usul persendirian RUU 355 yang bijak melaungkan slogan Islam di Padang Merbok tetapi akhirnya usul persendirian RUU 355 tajaan PAS dan UMNO itu telah terkubur. Amat sayang, kelibat YB Ahli Parlimen Marang yang menjadi juara RUU 355 tidak kelihatan di Dewan Rakyat sepanjang RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 ini dibahaskan.

6.Tidak syak lagi pembentangan RUU ini ialah iltizam Kerajaan Persekutuan PH untuk mendaulatkan Undang-undang Syariah umumnya serta profesion guaman syarie khususnya. Syabas diucapkan kepada YB Dato’ Sri Dr Mujahid Yusof Rawa serta pasukannya yang berusaha gigih untuk menyediakan RUU ini. Perlu diingat untuk melaksanakan Syariah ia tidak hanya meliputi satu juzuk seperti Undang-undang Hudud semata-mata, tetapi bagi memastikan ia dapat dilaksanakan, perkara-perkara yang berkaitan (ancillary matters) kepada pelaksanaan syariah mestilah juga ditambah baik.

7.Akhir sekali, KANUN menyeru kepada semua rakyat Malaysia bahawa untuk terus menyokong kerajaan PH khasnya bahawa kerajaan PH tidak pernah mengenepikan kedaulatan agama Islam dan orang Melayu kerana hal tersebut telah termaktub kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan. KANUN juga menyeru rakyat Malaysia supaya tidak termakan dakyah palsu PAS dan UMNO bahawa Islam dalam kedudukan terancam di bawah pemerintahan kerajaan PH. Islam Masih Terbela.
“Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity)”

HAFIZ ROSLAN
Unit Hal-Ehwal Syariah
Biro Undang-Undang (KANUN)
Parti Amanah Negara
15 Julai 2019M / 12 Zulkaedah 1440H