Surat Akuan Bersumpah yang diviral adalah PALSU!!


Setelah video homoseksual yang mengaitkan Azmin Ali dan keputusan Zahid Hamidi untuk kembali bertugas sebagai presiden Umno, politik Malaysia digemparkan lagi dengan penyebaran surat akuan bersumpah palsu yang melibatkan beliau dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua tokoh politik tersebut dengan tangkas mengecam gambar dokumen “akuan bersumpah” tersebut yang mendakwa mereka memberi sokongan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai “palsu” dan “fitnah”.
Kini tinggal pesuruhjaya sumpah dan pemilik cop pesuruhjaya sumpah yang jelas kelihatan pada 2 dokumen tersebut belum tampil menafikannya. Apakah wujud pesuruhjaya sumpah seperti yang tertera? Setakat ini belum ada siapa yang tahu.
Strategi menggunakan surat akuan bersumpah palsu adalah strategi yang lumrah dalam politik yang boleh mencapai beberapa objektif tertentu.
Pertama, surat akuan bersumpah palsu boleh digunakan untuk membangkitkan kesangsian terhadap sasaran, terutama daripada sudut kesetiaan terhadap integriti sasaran, serta kesetiaan kepada bos dan parti masing-masing.
Surat akuan bersumpah palsu juga boleh digunakan untuk memaksa sasarannya tampil menafikan apa yang tersurat dan menimbulkan apa yang tersirat.
Jika kita mengambil surat akuan bersumpah palsu yang melibatkan Zahid dan Muhyiddin sebagai contoh, kedua-dua ketua parti itu terpaksa tampil menafikan dengan cepat seperti yang berlaku semalam.
Tapi penafian tersebut akan sekali gus menimbulkan persepsi mereka juga menafikan sokongan terhadap Anwar untuk menggantikan Mahathir dan mereka akan terus menyokong Mahathir untuk kekal sebagai PM. Tiada siapa yang lebih mengetahui, selain mereka berdua sama ada perkara itu benar ataupun tidak secara tersirat.
Bukan itu sahaja, meskipun mereka tampil menafikan surat tersebut, namun surat akuan bersumpah yang palsu ini akan menimbulkan kesangsian yang munasabah dan teori konspirasi terhadap kesetiaan kedua-dua ketua parti itu kepada parti mereka.
Sudah pasti ada antara ahli dan pimpinan parti yang percaya surat tersebut tulen, dan penafian adalah sekadar satu langkah politik untuk menyelamatkan diri atau suatu rancangan sulit.
Masalah tersebar ialah apabila timbulnya konspirasi politik sebegini ia susah dimatikan, malah akan terus subur dan menjadi perbualan di kedai kopi sehingga adalah teori konspirasi lain mematikannya.
Barangkali ini antara objektif utama surat akuan bersumpah tersebut disebarkan.
Selain itu, strategi surat akuan bersumpah palsu juga digunakan untuk mematahkan strategi atau serangan yang dijangka mendatang.
Bayangkan, sekiranya surat akuan bersumpah itu sebenarnya tulen, maka penafian tuan punya badan terhadap surat tersebut akan menyebabkan surat akuan bersumpah itu terbatal dengan sendirinya.
Lihatlah betapa hebatnya strategi politik surat akuan bersumpah palsu ini. Ini boleh mematahkan strategi lawan, menimbulkan persepsi baru dan mengucarkacirkan sasaran dengan menimbulkan kesangsian yang mendalam.
Persoalannya siapakah yang melancarkan strategi politik surat akuan bersumpah ini? Tanyalah diri, siapakah yang rugi dan siapakah yang untung dalam episod ini?
Pelbagai perkara yang menarik sedang berlaku dalam politik Malaysia hari ini.
Surat akuan bersumpah palsu yang melibatkan Zahid dan Muhyiddin berlaku selepas Zahid kembali bercuti menjadi presiden Umno dan pada masa yang sama, Lim Kit Siang membuat kunjungan mengejut berjumpa Mahathir. Apakah semua ini kebetulan selepas Latheefa Koya dilantik ketua pesuruhjaya SPRM?
Rakyat Malaysia, percayalah ia cuma satu kebetulan seperti tindakan Anwar dan Mahathir saling mengulang-ulang janji Anwar akan menjadi PM seterusnya.
Ia juga seperti janji Pakatan Harapan menghapuskan tol dengan membeli konsensi lebuh raya sambil memperkenalkan caj kesesakan.
Timmy Say (FMT)