SRC kena bayar RM9.2 bilion kepada KWAP - Peguam

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd perlu membayar RM9.2 bilion kepada Kumpulan Wang Diperbadankan  (KWAP) bagi pembiayaan Bai Al-Inah untuk  pembiayaan  RM4 bilion yang dibuat syarikat itu daripada KWAP.

Mohd Shuhaimi Ismail, peguam dan rakan kongsi di firma guaman Hisham, Sobri & Kadir yang menyediakan kertas kedua-dua pinjaman SRC,  berkata jumlah itu adalah harga jualan dari pihak KWAP kepada SRC termasuk 12 peratus kadar faedah.

“Harga jualan dalam transaksi ini merujuk kepada  jumlah pembiayaan iaitu RM2 bilion termasuk keuntungan yang dipersetujui selama tempoh 10 tahun iaitu berdasarkan kadar yang dipersetujui dalam perjanjian pembelian dan kadar faedah 12 peratus.

“Jadi harga jualan yang dikenakan oleh pihak KWAP  kepada SRC ialah RM4.6 bilion bagi kemudahan pinjaman pertama dan  RM4.6 bilion bagi pinjaman  kedua,’ katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Mohd Shuhaimi, 50, yang kini  Pengarah Bahagian Undang-Undang Bandar Malaysia Sdn Bhd., berkata bagi harga jualan RM4.6 bilion untuk pinjaman  pertama, SRC perlu membayar dalam tempoh 10 tahun iaitu sehingga 2021 manakala pinjaman kedua pada 2022.

Saksi pendakwaan ke-48 itu berkata berdasarkan kontrak jual beli, pihak yang menandatangani kontrak  itu iaitu SRC mesti  bertanggungjawab membayar semula apa yang dijanji iaitu harga jualan mengikut masa, tarikh yang dipersetujui.

 Muhammad Saifuddin : Maknanya SRC  masih lagi kena bayar pinjaman itu

Mohd Shuhaimi : Ya

Muhammad Saifuddin : SRC kena bayar balik semula pinjaman ?

Mohd Shuhaimi : Ya sebenarnya SRC kena bayar RM4.6 biilion  pinjaman pertama  dan RM4.6 bilion  pinjaman kedua termasuk kadar keuntungan

 Muhammad Saifuddin : Jadi untuk kedua-dua pinjaman jumlah yang perlu dibayar SRC ialah RM9.2 atau anggaran RM9.3 bilion

 Mohd Shuhaimi : Ya

Beliau berkata berdasarkan perjanjian pembelian sebagai balasan kepada pihak pembiaya (KWAP) yang  memberi kemudahan pembiayaan kepada SRC dan atas permintaan pelanggan (SRC)  maka pembiaya menjual kepada pihak pelanggan aset yang dinyatakan dalam perjanjian pembelian itu.

Muhammad Saifuddin : Aset ini milik KWAP ?

Mohd Shuhaimi : Ya, aset  ini milik KWAP yang digunakan untuk jual beli. Aset dalam bentuk saham dijual kepada SRC di bawah perjanjian penjual;an set. Harga jualan yang dipersetujui ialah RM4.6 billion (bagi pinjaman pertama)

Muhammad Saifuddin :  RM4,687906694.77 bilion

Mohd Shuhaimi : Ya betul

Muhammad Saifuddin : Bagaimana jumlah RM4.6 bilion bagi setiap pinjaman ini diperolehi.  Adakah jumlah RM2 billion yang asal ditambah dengan kadar keuntungan yang akan diperolehi untuk 10 tahun .

Mohd Shuhaimi :  Betul

Saksi itu  berkata surat perjanjian pinjaman pertama yang dikeluarkan pada Ogos 2011 ditandatangani  oleh Datuk Nor Azian Mohd Noh, Ketua Pegawai Eksekutif   (CEO) KWAP ketika itu  dan CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Katanya, bagi pinjaman perjanjian kedua ia ditandatangani oleh Nor Azian dan Allahyarham Ahmad Norhisham Hassan, Pengarah Jabatan Pendapatan Tetap  KWAP ketika itu dan Datuk Suboh Md Yassin, iaitu bekas pengarah SRC, pada Mac 2012.

Ditanya  tanggungjawab SRC berhubung jual beli aset itu, Mohd Shuhaimi  berkata berdasarkan kemudahan pinjaman itu, SRC bertanggungjawab membayar sehingga RM4.6 bilion  (bagi setiap pinjaman) kepada KWAP mengikut terma  yang dinyatakan dalam kemudahan pinjaman itu.

 Ketika diminta menjelaskan prinsip jual beli Bai Al-Inah, Mohd Shuhaimi berkata, untuk prinsip ini pihak-pihak yang berkontrak akan memasuki jual beli dan dalam kes ini  kontrak jualan dari  KWAP kepada SRC di mana KWAP akan menjual aset yang dikenal pasti kepada SRC mengikut  harga jualan.

Pada prosiding itu, saksi juga  dirujuk kepada empat dokumen iaitu perjanjian kemudahan, penjualan aset, pembelian aset dan surat jaminan berkaitan kedua-dua pinjaman oleh SRC itu.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

BERNAMA