Set gamelan 208 tahun iringi istiadat pertabalan

Set gamelan berusia 208 tahun yang akan digunakan bagi mengiringi dan menyerikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini mempunyai kisah yang bernilai untuk dikongsi.

Ini kerana alatan muzik yang sinonim sebagai seni muzik istana itu bukan sahaja mencatat sejarah sebagai set pertama yang dibawa masuk ke Tanah Melayu, tetapi cukup signifikan bagi institusi diraja Pahang.

Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang Datuk Ahmad Farid Abd Jalal berkata set gamelan itu dibawa masuk ke negara ini dari istana kesultanan Riau-Lingga, Pulau Penyengat, Riau pada 1811 dan membuat persembahan pertama di khalayak ramai di Pekan, Pahang.

"Instrumen muzik berkenaan dibawa masuk ke Pahang oleh sekumpulan penari dan pemuzik bagi menyerikan majlis perkahwinan adinda kepada pemerintah Pahang Bendahara Tun Ali, iaitu Wan Esah dengan Tengku Hussain, yang merupakan putera sulung kepada Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud Syah III,” katanya kepada Bernama.

Seni muzik gamelan kemudiannya berkembang di Istana Pahang ketika pemerintahan Sultan Pahang pertama, Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah menerusi Tengku Ampuan Wan Fatimah dan isteri kedua baginda, Che Zubedah, dan dikenali sebagai joget Pahang.

Menurut Ahmad Farid, set gamelan itu kemudian merantau ke Terengganu pada 1915 apabila Che Zubedah berhijrah ke negeri itu setahun selepas kemangkatan Sultan Ahmad untuk menetap bersama puterinya Tengku Ampuan Mariam yang berkahwin dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (putera Sultan Zainal Abidin III).

Apabila Perang Dunia Kedua meletus pada 1941 disusuli kemangkatan Sultan Sulaiman pada 1942, seni muzik gamelan mengalami zaman suram dan instrumen berkenaan kemudiannya hanya tersimpan rapi di Istana Kolam yang merupakan kediaman Tengku Ampuan Mariam.

"Set gamelan ini kembali ke Pahang pada 1973 dengan keizinan Tengku Ampuan Mariam sebelum diserahkan kepada kami di Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan untuk disimpan dan ada masanya dikeluarkan bagi persembahan.

"Kami berasakan amat sesuai set gamelan ini digunakan pada istiadat pertabalan Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong kerana sejarah dan asal usulnya yang begitu berkait dengan negeri ini," katanya.

Set alat muzik gamelan Melayu terdiri daripada keromong atau bonang, gambang, gendang, saron demung, saron barung, kenong dan gong suwukan serta gong agung, dan lazimnya hanya memerlukan lima atau tujuh orang untuk dimainkan.

Mengenai lagu-lagu yang dimainkan untuk istiadat pertabalan, Ahmad Farid berkata lazimnya dimulakan dengan lagu Perang, sebelum diikuti seleksi lagu lain, mengikut pilihan pemuzik, seperti Raja Berangkat, Timang Burung, Togok, Raja Berperang, Kendong Gajah Mati, Lantai Lima, Selantin, Puteri Bongsu dan Lambang Sari.

Pemain instrumen bonang kumpulan gamelan itu, Aminallah Ali, 67, merupakan 'ketua' persembahan berkata pemilihan lagu yang dimainkan perlu disesuaikan dengan rentak perjalanan majlis.

Pengendali gambang, Muhammad Zahari, 57, pula menyifatkan peluang untuk mempersembahkan keunikan seni muzik Melayu kepada masyarakat antarabangsa menerusi istiadat pertabalan itu merupakan kenangan manis dan 'pengiktirafan' kepadanya yang sudah 32 tahun 'bermain' gamelan.

Beliau yang masih berkhidmat di Muzium Sultan Abu Bakar berkata istiadat pertabalan menjadi peluang kedua untuk mereka 'beraksi' di Istana Negara selepas kali pertama diminta bermain gamelan pada lawatan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dan isteri, Kim Jung-sook pada Mac lalu.

"Walaupun sudah boleh dianggap sebagai otai dalam seni gamelan, kami masih lagi melakukan latihan saat-saat akhir dan berbincang mengenai pemilihan lagu dan rentak supaya persembahan yang dibuat memuaskan hati, bukan hanya kepada yang mendengar tetapi juga pada kami.

"Walaupun sering bermain pada majlis istana, tapi kali ini perasaan itu berbeza kerana secara tak langsung kami menjadi sebahagian daripada sejarah negara untuk istiadat pertabalan ketua negara," katanya.

BERNAMA