Sedekahkan Pahala vs Mendoakan Kebaikan?

Seringkali kita dapati, bila disampaikan suatu berita tentang kematian seseorang, orang-orang akan segera menyebut (atau menulis) Al-Fatihah.

Bila kita tanya, apa maksudnya tu? Mereka jawab nak sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah. Untuk apa? Mereka jawab, kerana Surah Al-Fatihah adalah ibu segala surah dalam al-Qur’an.

Ada dua kejanggalan di situ yang menimbulkan persoalan. Pertama, bolehkah orang mati terima sedekah pahala dari orang hidup? Kedua, sedekahkan nama surah buat apa?

Sekadar menyebut atau menulis Al-Fatihah, itu tak ada makna apa-apa pun. Kalau baca walau satu ayat dari al-Qur’an, atau satu huruf saja pun, boleh dapat pahala. Tetapi saya tak pasti sekadar menyebut nama surah boleh dapat pahala ke tidak. Al-Fatihah maksudnya pembukaan. Dan kalau dapat pahala pun, belum tentu pahala itu boleh disedekahkan kepada orang mati atau tidak.

Bukankah kita dianjurkan untuk berdoa dengan menggunakan ayat Qur’an?

Ya, kita tidak nafikan yang tu. Tetapi, antara mendoakan kebaikan untuk arwah, dengan sedekahkan nama surah kepada arwah, adalah dua benda yang berbeza.

Berdoa maksudnya memohon atau meminta kepada Allah. Mendoakan kebaikan kepada si mati maksudnya kita memohon kepada Allah supaya diberi keampunan dan rahmat kepada si mati, diringankan azab dan dimasukkan ke dalam syurga, dengan harapan doa kita diperkenankan Allah. Itu saja yang kita mampu buat, yang dibenarkan oleh agama.

Kalau kita baca surah Fatihah sekali pun, tak boleh kata confirm atau pasti Allah akan bagi pahala. Itu semua urusan Allah. Urusan dapat pahala ni benda ghaib, hanya Allah yang tahu. Benda yang tidak pasti dapat kepada kita, bolehkah kita sedekahkan kepada orang? Mentelah pulak orang yang nak disedekahkan itu sudah mati.

Ikutlah apa yang Qur’an atau Hadis ajar. Bukannya susah sangat pun. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 156 : “Allaziina iza asoobat-hum musiibatun qoolu inna lillahi wa inna ialaihi roji’uun”. Orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah mereka mengucapkan sesungguhnya kita ini milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kita kembali.

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda, maksudnya : “Barang siapa yang istirja`, (iaitu mengucapkan 'innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun) ketika mendapat musibah, maka dia diberi pahala oleh Allah dan diiringi-Nya dengan kebaikan."

Kematian seseorang itu suatu musibah kepada ahli keluarga, saudara-mara atau sahabat-handai yang masih hidup. Diriwayatkan oleh Abu-Dawud dalam kumpulan hadis-hadis mursalnya, bahawa bahawa pada suatu ketika lampu Nabi SAW padam, maka baginda pun mengucapkan istirja`. Kemudian Aisyah berkata : “Bukankah ini hanya sebuah lampu!" Jawab Nabi SAW : "Setiap yang mendukacitakan hati (atau menyedihkan) orang mukmin itu bererti musibah."

Sebahagian orang tak faham, dia ingat innalillah itu khusus untuk diucapkan apabila mendapat berita kematian sahaja. Misalnya kalau dia bagitahu si anu atau si polan kemalangan, kita pun mengucapkan innalillahi wa inna ilaihi roji’un; dia kata : “Dia hidup lagi lah, cuma cedera sikit je. Kurang ajar mu, macam berdoa suruh dia mati cepat.”

Bukan. Kita ucapkan itu kerana si anu kemalangan, bukan berdoa mintak dia mati.

Atau, bila dapat berita tentang kematian seseorang, kita mendoakan kebaikannya, misalnya : “Allahummaghfirlahu (ha/hum) warhamhu (ha/hum) wa’afihi wa’fu’anhu (ha/hum) seperti bacaan dalam solat jenazah. Atau boleh juga berdoa dengan menggunakan ayat Qur’an, tapi bukan sedekahkan nama surah kepada arwah. Atau boleh saja mendoakan kebaikan untuknya dalam bahasa melayu yang kita faham, tak ada masalah.

Wallahu'alam.

AAM