Saya tidak akan berhenti tegur UMNO - Khairy


Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti menegur kepimpinan UMNO, yang pada pandangannya perlu lagi diperbetulkan.

"Saya akan terus bercakap kerana saya tiada niat buruk terhadap mana-mana individu dalam UMNO sama ada pemimpin sekarang atau terdahulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah teguran itu disebabkan masih sayang kepada parti UMNO, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, “tentulah kerana sayang, kalau tak dah lama saya chow.”

Pada 10 Julai lepas, media melaporkan beliau menyatakan dengan ringkas, “tiba-tiba saya tidak suka di mana saya berada,” sebagai mengulas mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Beliau juga sebelum ini pernah menegur pemimpin UMNO supaya tidak menjadikan parti itu sebagai perisai dalam menghadapi pertuduhan di mahkamah.

BERNAMA