Perak sasar 10 peratus peningkatan pengeluaran durian


Jabatan Pertanian Perak menyasarkan peningkatan 10 peratus pengeluaran buah durian tahun ini daripada jumlah keseluruhan 29,659 tan metrik melibatkan kawasan seluas 4,936 hektar sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Nor Sam Alwi berkata ini berikutan penambahan kawasan kluster tanaman durian seperti di daerah Hulu Perak iaitu di Lenggong dan Gerik serta beberapa lokasi baharu yang  dikenal pasti di daerah Manjung.

“Beliau berkata, daripada jumlah itu, 50 peratus daripadanya adalah durian daripada daerah Larut Matang dan Selama yang ditanam di kawasan seluas 2,600 hektar.

“Kita menjangkakan peningkatan tahun ini sebab pada tahun lepas, berlaku kemarau sedikit jadi pengeluaran berkurangan berbanding tahun ini,” katanya pada sidang media mengenai musim durian negeri Perak di dusun Beringin Fruit Valley, Kampung Dendang di sini hari ini.

Nor Sam berkata kawasan kluster durian iaitu dusun Beringin Fruit Valley seluas 25,726 hektar yang diusahakan 35 peserta akan dibangunkan dan dijangka dapat memberi nafas baru kepada sektor agro-pelancongan di Beruas.

Nor Sam berkata Perak merupakan negeri ketiga terbesar dalam pengeluaran  durian selepas Pahang serta Johor dan penambahan kawasan kluster durian dilihat penting bagi menampung permintaan raja buah itu dalam memenuhi program eksport durian ke China yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, Nor Sam berkata pihaknya sedang mengumpul inventori tanaman durian bagi membuat jangkaan pengeluaran buah tersebut berdasarkan bilangan dan umur pokok di seluruh negeri Perak untuk mengelak lambakan atau tiada pengeluaran dalam tempoh tertentu. 

Katanya, sejak 2018 sehingga kini, sebanyak 76,163 pokok durian pelbagai jenis ditanam di kawasan seluas 1,400 hektar di seluruh negeri. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri berkata kerajaan negeri melihat kawasan kluster durian di Beruas mempunyai potensi besar daripada sektor agropelancongan.

“Ia perlu dimanfaatkan terutama dengan adanya jajaran kawasan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang boleh menaikkan pekan Beruas untuk pembangunan termasuk daripada sektor pertanian dan perikanan.

BERNAMA