Nasib exco didakwa merogol ditentukan setelah siasatan selesai


Kedudukan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap pembantu rumahnya, akan diputuskan selepas polis selesai menjalankan siasatan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri memandang serius dakwaan berkenaan dan meminta semua pihak, supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus serta profesional.

"Kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Hari ini, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia, membuat laporan polis di Balai Jelapang di sini semalam, mendakwa dirogol Exco berkenaan di rumahnya. 

Ketua penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Choo Lily ketika dihubungi Bernama News Channel mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

BERNAMA