Nama Malaysia dikekalkan dalam pemulihan Malaysia Airlines - Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memastikan nama Malaysia dikekalkan dalam membuat sebarang keputusan berhubung pelan pemulihan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).

Beliau berkata banyak cadangan diperoleh kerajaan berhubung pemulihan Malaysia Airlines selain terdapat syarikat yang berminat untuk mengambil alih syarikat penerbangan negara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan pada masa ini belum membuat keputusan sama ada menjual, bekerjasama dengan syarikat lain atau mengambil bahagian dalam pemulihan syarikat penerbangan itu.

"Tetapi sesuatu yang kita ingin kekalkan ialah nama syarikat ini mesti ada kaitan dengan negara kita iaitu Malaysia. Kita tidak boleh jual syarikat ini sehingga namanya terhapus sama sekali," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana menteri menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai sama ada kerajaan telah mengenal pasti syarikat untuk mengambil alih atau bekerjasama dengan Malaysia Airlines.

Dr Mahathir berkata sebarang keputusan berhubung masa depan syarikat penerbangan itu juga akan mengambil kira kebajikan kakitangannya.

"Kita berharap dalam apa juga tindakan yang diambil, kita tidak perlu gugurkan pekerja, tetapi kalau mereka pilih untuk bekerja dengan syarikat lain itu adalah keputusan mereka.

"Kita sendiri tidak akan tamatkan. Syarat kita kepada pembeli ataupun mana-mana rakan kongsi, kita tidak akan kurangkan pekerja yang berada dalam MAS sekarang," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang berharap tiada pekerja syarikat itu akan diberhentikan.

Selain itu, perdana menteri berkata kerajaan juga mengambil kira kepentingan perhubungan Sabah dan Sarawak yang bergantung kepada perjalanan udara.

"Kita tidak berhajat memberhentikan ‘rural air service’ (perkhidmatan udara luar bandar) MASwings dan juga penerbangan yang bersaing dalam kos rendah. Semuanya akan diambil kira,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan melihat Malaysia Airlines sebagai aset strategik yang akan terus dipertahan dan dipulihkan.

"Namun begitu, usaha pemulihan ini tidak akan berjaya sekiranya kita hanya menyatakan iltizam dengan pelbagai pelan tetapi tidak diikuti dengan usaha bersungguh-sungguh.

"Pengorbanan semua pihak yang terlibat terutamanya pihak pengurusan dan kakitangan Malaysia Airlines Berhad amat penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan, mengoptimumkan pulangan ke atas perbelanjaan serta mengutamakan produktiviti," katanya.

Sokongan rakyat, kata perdana menteri, juga diperlukan untuk menjayakan usaha meletakkan kembali syarikat penerbangan negara di tahap yang membanggakan.

Beliau menyatakan demikian menjawab soalan asal Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) mengenai langkah diambil kerajaan untuk memulihkan prestasi syarikat itu serta sejauh mana keberkesanannya sehingga ke hari ini.

BERNAMA