Mujahid Membina Jaringan Kerjasama Global Malaysia-China Mengenai Isu Keamanan, Agama Dan Sosioekonomi


Lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dr Mujahid Yusof ke China baru-baru ini antara lain bertujuanmembina jaringan kerjasama global Malaysia-China mengenai isu keamanan, agama dan sosioekonomi  dan bukan semata-mata untuk melawat etnik Uyghur.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri di JPM hari ini berkata, lawatan itu diluluskan kabinet serta diberi panduan oleh Kementerian Luar bagi memastikan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tidak terjejas.

Menurut kenyataan itu lawatan kerja berkenaan bukan semata-mata untuk melawat etnik Uyghur sebaliknya merentasi pelbagai aspek, termasuk saling bertukar pandangan mengenai isu keamanan, agama dan sosioekonomi di samping berkongsi tentang Model Malaysia berdasarkan gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Ia menyebut Mujahid diberi penghormatan pada 27 Jun untuk bertemu Wang Zuoan, Vice-Minister of United Front Work Department, CPC Committee dan mereka membincangkan pelbagai isu termasuk peluang mengembangkan lagi industri halal Malaysia, pengendalian haji serta isu melibatkan imam-imam di China.

Kenyataan itu menarik perhatian bahawa China mempunyai kira-kira 20 juta penduduk Muslim pelbagai etnik dan mempunyai kira-kira 30,000 masjid dan puluhan ribu imam.

"Justeru, dalam perbincangan antara Mujahid dan timbalan menteri itu turut dibangkitkan bagaimana Malaysia dapat membantu imam dari segi pendidikan bagi memainkan peranan mereka dalam masyarakat di China," menurut kenyataan itu.

Mujahid, jelas pejabat terbabit, turut menegaskan dalam pertemuan itu tentang pendirian berhubung kebebasan beragama dan menghormati hak seseorang rakyat untuk beragama.

Menteri itu juga diberi peluang untuk menyampaikan syarahan bertajuk Towards A Peaceful and Harmonious World (Ke Arah Dunia Yang Aman Dan Harmoni) di Beijing Foreign Studies University.

Sepanjang lawatan beliau dari 23 hingga 30 Jun, Mujahid diiringi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta para pegawai Kementerian Luar.

"Ini merupakan pertama kali bagi seorang menteri dari Malaysia bercakap tentang isu agama kepada wakil China dan maklum balas yang diterima sangat positif," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Mujahid juga menyangkal berita yang dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan bertarikh 28 Jun dan menegaskan bahawa laporan yang ditulis portal berkenaan berdasarkan teks ucapan syarahan menteri berkenaan sebagai "amat mengelirukan, tidak tepat serta tidak menggambarkan keseluruhan ucapan".

Bernama

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/481984