Malaysia akan terus mengalu-alukan pelaburan global yang berkualiti termasuk dari China, terutamanya dalam projek berteraskan modal, berkemahiran tinggi dan berteknologi maju, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pelaburan sedemikian akan menyokong agenda pembangunan mampan negara.

Dr Wan Azizah berkata Malaysia turut mengalu-alukan kerjasama strategik dengan China, terutamanya dalam bidang robotik dan Kecerdasan Buatan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor pembuatan Malaysia dalam era Revolusi Perindustrian 4.0.

Beliau yang dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke China dari Isnin lepas berkata kerajaan yakin Malaysia akan menjadi destinasi yang ideal untuk industri berasaskan inovasi teknologi ini.

"Pelan jangka panjang kami bukan sahaja untuk faedah rakyat tetapi untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan untuk pelabur," katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Meja Bulat dengan Usahawan dan Pelabur Utama di Beijing anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini pada Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Malaysia berharap kepada kerjasama yang adil dan saling memberi manfaat dengan pemimpin perniagaan China dalam pelbagai sektor, termasuk perniagaan tani, pelancongan perubatan, keselamatan siber dan industri halal daripada logistik, makanan, pelancongan, gaya hidup hingga kewangan.

Seramai 39 pemimpin perniagaan China hadir pada mesyuarat tersebut yang turut menyaksikan pasukan dari Malaysia Vision Valley memberikan taklimat mengenai peluang perniagaan di Negeri Sembilan.

BERNAMA