Keuntungan Bersih Separuh Pertama 2019 Tabung Haji Meningkat


Keuntungan bersih separuh pertama 2019 Lembaga Tabung Haji (TH) meningkat kepada RM815 juta, dengan lebihan aset sebanyak RM1.8 bilion.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik itu dipacu oleh strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos yang berhemat.

"Bagi tempoh enam bulan pertama 2019, TH berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM1.3 bilion, dijana terutama dalam pelaburan aset pendapatan tetap (RM663 juta), pelaburan hartanah (RM292 juta) dan instrumen pasaran wang Islam (RM199 juta).
"Keuntungan bersih juga meningkat kepada RM815 juta, hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran," menurut kenyataan itu.

Pendapatan TH juga dijangka terus meningkat apabila TH menerima manfaat penuh daripada Sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang telah diterbitkan pada 30 Mei 2019 lepas.

Selain itu, perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil, berjayamengurangkan tekanan daripada keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu akibat ketegangan perang perdagangan global.

"Pada 30 Jun 2019, kedudukan kewangan TH kekal kukuh apabila jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.8 bilion, dengan jumlah aset RM74.0 bilion manakala jumlah liabiliti RM72.2 bilion," kata TH, sambil menambah kepercayaan dan sokongan pendeposit kekal kukuh, dengan jumlah deposit pada paras RM71.0 bilion setakat 30 Jun 2019.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, TH berkata, pihaknya telah menjangkakan peningkatan pengeluaran dalam separuh pertama 2019 selepas pengumuman hibah dibuat, selain bermulanya musim haji.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, TH berkata, penerbangan pertama jemaah haji bagi musim haji 1440 Hijrah berlepas pada 4 Julai lalu dan sehingga semalam, sebanyak 42 penerbangan yang membawa lebih 20,000 jemaah haji, berlepas dan selamat tiba di Tanah Suci.

Di Makkah, jemaah Muassasah akan menginap di 14 hotel yang terletak sekitar 600 hingga 950 meter dari Masjidil Haram dan sehingga kini, pengendalian operasi haji berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. - BERNAMA