Kerajaan Negeri Kedah cari jalan atasi masalah pelupusan sampah

Kerajaan Negeri akan mencari jalan penyelesaian menyeluruh bagi mengatasi masalah tempat pelupusan sampah yang mengakibatkan pencemaran di Kampung Kemumbung, Sidam Kiri, dekat Sungai Petani.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pendekatan yang diambil juga perlu mengambil kira bahawa tempat pelupusan itu berada di atas tanah milik seorang penduduk kampung itu.

“Kita ada tempat pelupusan sampah di Semeling, Merbok tetapi disebabkan Sungai Petani adalah penyumbang terbesar pembuangan sampah, lori yang membawa sampah kadang-kadang terpaksa beratur sehingga empat jam di situ untuk membuang sampah.

“Mungkin sebab itu, saya difahamkan ada individu yang mengambil peluang menyediakan tanah dan mengambil bayaran serendah RM20 untuk membuang pelbagai jenis sampah di kawasan yang terletak di tepi Sungai Muda itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama usahawan padi berskala besar di Kampung Kubang Anak Gajah di sini, hari ini.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Ooi Tze Min telah diminta berjumpa dengan tuan tanah dan penduduk kampung berkenaan petang ini.

Mukhriz berkata, keputusan mengenai tindakan yang bakal diambil akan dibuat setelah mencapai kata sepakat antara semua pihak.

Media hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 30 buah lori yang membawa muatan sampah didakwa memasuki kampung berkenaan setiap hari bagi melupuskan bahan buangan di tapak pelupusan itu.

Difahamkan, setiap lori hanya dikenakan bayaran serendah RM20 untuk membuang pelbagai jenis sampah di kawasan yang terletak di tepi Sungai Muda itu.

Keadaan itu mengundang masalah bau busuk kepada penduduk kampung itu sejak lebih 10 tahun lepas ekoran longgokan sampah yang semakin banyak.

BERNAMA