Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus bincang fungsi, kekangan PSC, PAC


Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus akan mengadakan pertemuan dengan semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi membincangkan fungsi dan kekangan yang dihadapi mereka.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima maklum balas daripada beberapa pengerusi jawatankuasa berkenaan yang berdepan masalah dalam menjalankan tugas mereka.

“Kita dapat input daripada pengerusi jawatankuasa pilihan khas bahawa mereka kadang-kadang ada kesukaran mengundang pegawai kanan untuk beri taklimat, atau kuasa Parlimen itu sangat terbatas, tidak seperti yang dijanjikan.

“Kita akan mengundang semua pengerusi minggu depan, kita bincang masalah mereka dan akan kemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dapat ditangani,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di bangunan Parlimen, hari ini.  

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Pengerusi PAC Datuk Dr Noraini Ahmad berkata terdapat Ketua Setiausaha atau Ketua Perkhidmatan gagal menghadirkan diri walaupun menerima notis panggilan mesyuarat sekurang-kurangnya tempoh 10 hari, seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat 9, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sementara itu, Anwar berkata kaukus berkenaan akan mengadakan perbincangan dengan anggota Parlimen berhubung pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 kerana terdapat beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan peruntukan dalam pindaan itu.

Pada 9 April lepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin membentangkan pindaan Akta MKN untuk bacaan kali pertama.

Pindaan akta itu menyaksikan Yang di-Pertuan Agong bakal mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai ‘kawasan keselamatan’.

BERNAMA