Jho Low selalu tidak tepati waktu, penipu - Saksi

Seorang saksi perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggambarkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, sebagai seorang yang tidak pernah menepati waktu dijanjikan dan penipu.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank Cheah Tek Kuang, 72, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah mempercayai lelaki itu.

“Saya boleh beritahu dia seorang yang macam mana, (dia) seorang yang tidak pernah menepati waktu. Kalau ada temu janji pada pukuI 1 tengah hari, dia akan datang pukul 1.30 tengah hari," katanya.

Saksi pendakwaan ke-50 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh pada hari ke-49 perbicaraan bekas perdana menteri itu yang berdepan dengan tujuh tuduhan berkaitan salah guna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau berkata demikian selepas Harvinder menyoal beliau mengenai perbualan melalui mesej Blackberry antara bekas pengurus perhubungan Ambank Joanna Yu dan seorang lagi yang dipercayai Jho Low.

Cheah berkata beliau tidak bercakap dengan Jho Low dan tidak mengetahui perbualan antara Yu dan lelaki itu.

"Apa yang dia katakan kepada Jho Low, saya tidak tahu. Saya tidak bercakap dengan Jho Low.

Semasa menjawab pertanyaan Harvinder mengenai sama ada saksi menyifatkan Jho Low sebagai penipu, beliau berkata: “Penipulah, saya tidak suka dia, benci dia. Tidak boleh rapat dengan orang yang macam ini,” katanya.

Semalam, saksi itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau bertemu Jho Low di rumah Najib di Jalan Langgak Duta berhubung permohonan bekas perdana menteri itu untuk membuka akaun bank di Ambank.

Turut memberi keterangan hari ini ialah bekas setiausaha syarikat SRC Chee Suwen dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, S.Mageswary

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

BERNAMA