Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar tangani isu pencemaran ditubuh - Exco

Kerajaan Negeri Johor hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar bagi menangani isu pencemaran di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata jawatankuasa itu akan memfokuskan kepada tiga jenis kawalan pencemaran utama iaitu pencemaran air, pencemaran udara serta pengurusan buangan.

“Objektif utama penubuhan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar ini adalah bagi menangani isu-isu pencemaran di dalam negeri Johor melalui tindakan pemantauan dan penguatkuasaan punca-punca alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

“Selain itu, Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar ini akan menyelaraskan tindakan antara agensi melalui bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu dapat diambil,” katanya.

Tan berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai pelbagai agensi.

Beliau berkata setakat ini terdapat 25 agensi dan jabatan yang terlibat, namun, senarai akhir anggota-anggota jawatankuasa tersebut akan diumumkan selepas dimuktamad. 

Katanya penglibatan pelbagai agensi dalam jawatankuasa tersebut adalah amat penting kerana isu pencemaran bukan sesuatu masalah yang bersifat “silo”.

“Punca dan bentuk pencemaran adalah pelbagai dan memerlukan tindakan bersepadu yang pintar serta cekap demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

BERNAMA