Hanya yang rasuah atau melindungi perasuah takut dengan pengisytiharan harta - Lim Guan Eng

Pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melakukan pengisytiharan harta sejak lapan tahun lalu tanpa mengalami sebarang masalah atau risiko terhadap diri dan keluarga mereka, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. 
Beliau yang pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata demikian mengulas kebimbangan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa pengisytiharan harta kononnya akan mengundang bahaya kepada wakil rakyat dan keluarga mereka. 
“Ini adalah tidak benar dan sama sekali salah kerana pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan aset mereka sejak lapan tahun lalu tanpa sebarang masalah atau risiko terhadap diri mereka dan keluarga mereka,” kata Guan Eng dalam kenyataan. 
Beliau turut menempelak Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menuduh kononnya amalan pengisytiharan harta adalah ‘impian DAP’ dan merupakan idea komunis serta sosialis. 
“Pengisytiharan harta bukan konsep komunis atau sosialis, malah ia tidak diamalkan pun oleh kebanyakan negara komunis atau sosialis. 
“Ia (pengisytiharan harta) adalah berdasarkan undang-undang, etika dan nilai bagi mewujudkan institusi-institusi yang berintegriti dan membanteras rasuah dalam kerajaan dan masyarakat.
“Hanya yang rasuah atau melindungi perasuah takut dengan pengisytiharan harta,” ujarnya. 
Malah, Guan Eng mendakwa, tindakan PAS menolak amalan isytihar harta adalah untuk melindungi pemimpin pembangkang yang terlibat dalam skandal 1MDB. 
“Dengan melakukan demikian, PAS telah hilang teras moral dan etikanya dan tidak ada sebab lagi untuk menyokong sebuah parti yang telah menunjukkan ketidakcekapan mereka dalam menguruskan ekonomi dan mentadbir sebuah negeri. 
“Ini dibuktikan dengan tindakan PAS yang telah menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri gagal yang bankrap, sehingga gagal membayar gaji penjawat awamnya sendiri,” tambahnya. – Roketkini.com